Friday, September 16, 2011

Kad raya untuk diriku

Khas Untuk...
Hamba Allah yang hina, yang dijadikan dari tanah yang dipijak-pijak,
Hamba Allah yang penuh dengan dosa, kekurangan, kelemahan dan kejahilan,
Hamba Allah yang mengharapkan pengampunan dari Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat.
yang bakal beralamat di alam berzakh, yang bakal berjumpa Mungkar dan Nakir.

KHAS UNTUK DIRIKU YANG DISAYANGI

Assalamualaikum... Apa khabar hatimu wahai diriku? Sudah adakah dalam hatimu itu akan cinta kepada Allah dan Rasullullah? Wujudkah rindumu kepada Allah dalam hatimu wahai diriku? Atau hatimu masih lagi dikotori dengan cinta dan janji palsu dunia?

Diriku, bangunlah sayang.. Bangunlah menghadap yang Maha Pencipta. Dia lebih layak dicintai dan dirindui.
Diriku, kosongkanlah hatimu dengan cinta dunia, penuhkanlah jiwa dan ragamu dengan Cinta kepada kekasih abadi. Bersedialah untuk pertemuan dengan-Nya kelak.

Wahai diriku, bersihkanlah hatimu, sucikanlah niatmu, kuatkanlah imanmu, indahkanlah akhlakmu dan peliharalah maruahmu. Ingatlah janji yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya dia bersama dengan orang yang sabar.

Wahai diriku.. Istiqomahlah dalam mencari redha Maha Pencipta, Bersabarlah dalam menempuhi ujian dan dugaan dalam mencari berkat dan rahmat yang Maha Pemberi Rahmat.

Wahai diriku.. Ayuhlah!! Bangun bersujud kepada yang Maha Berkuasa, berdoa kepada yang Maha Mengasihani agar dipermudahkan urusan hidup dan matimu, Dunia dan Akhiratmu.

Wahai diriku, kawallah hatimu agar sentiasa bersabar, tabah dan sentiasa mengikut syariat dan ajaran yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Diriku, ingin aku gunakan kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf darimu di atas segala kesalahan, kebodohan, keterlanjuran dan kekurangan yang telah aku lakukan kepadamu. Semoga hari raya pada tahun ini lebih bermakna buat kita. Diriku, Ingatlah.. Muhasabahlah perbuatan seharianmu agar kamu tidak mengulangi kesalahan yang sama dan berterusan membuat kebaikan. Aku sayang kamu! Jaga iman, capai taqwa, rebut syurga, jauhi neraka.... Sayang kamu!!!

                                                                                                                                             Ikhlas,
                                                                                                                                    ~ untuk diriku ~



Duhai Anak......



Berfikir  tentang ibu, pastinya kita terbayangkan wajah ibu kita yang cantik, semestinya kita teringat akan kata-katanya yang penuh kasih sayang, masih terasa hangat pelukannya. Pernahkah kita terfikir bagaimana ibu kita sewaktu kita masih di dalam kandungannya? Pernahkan kita mendalami perasaan ibu sewaktu kita menendang dari dalam rahim ibu? Bagi seorang bakal ibu, tidak ada yang lebih bahagia selain daripada dapat merasa gerakan bayi dalam kandungannya. Lebih menggembirakan apabila mengetahui bayi yang dikandungnya itu sihat dan selamat. Ibu berhati-hati dalam membuat sesuatu pekerjaan agar tidak menggangu bayi dalam kandungan. Ibu sedaya upaya menjaga kandungan dengan sebaik mungkin, mendidik diri, mencari ilmu dengan harapan bayi yang dikandung itu sihat dan mempunyai sifat-sifat yang baik.
Tetapi, adakah kita sedar semua itu? Sudahkah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai anak kepada ibu bapa kita? Mana hilangnya janji manis kita pada mereka sewaktu kita kecil-kecil dahulu? Ada di antara kita sudah terlanjur melakukan kesalahan kepada ibu bapa kita, tidak pernahkah kita terfikir perasaan mereka? Betapa kecewanya mereka terhadap kita.
Ada di antara kita sangat baik hubungannya dengan ibu bapa. Tetapi sayang seribu kali sayang. Kita selalu berfikir untuk membalas budi baik mereka dengan memberi wang setiap bulan, beri kemewahan, tetapi kita tidak pernah terfikir bahawa mereka lebih memerlukan kasih sayang kita sebagai seorang anak. Mereka lebih menagih perhatian daripada kita. Semua ibu bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka. Itu baru tentang kasih sayang dan perhatian. Pernahkah kita terfikir bahawa mereka juga memerlukan doa anak yang soleh/solehah sebagai bekalan mereka di akhirat sana? Apakah yang kita bekalkan untuk hari akhirat mereka? Adakah dosa pakaian kita yang tidak menutup aurat? Adakah dosa akhlak kita yang keterlaluan tahap teruknya? Adakah kata-kata umpatan kita terhadap mereka? Adakah kesalahan-kesalahan kita yang mengundang dosa kepada mereka menjadi bekalan akhirat mereka? Atau doa, akhlak yang baik, aurat yang ditutup dengan sempurna dan berusaha menjadi anak yang soleh/solehah kita bekalkan kepada mereka? Fikir-fikirkanlah..

Perihal Yakin


Pada zaman ini, ramai orang yang kurang yakin. Apa maksud yakin itu? Yakin diri kah? Yakin yang saya maksudkan ini ialah yakin dengan ketentuan Allah, yakin dengan qada’ dan qadar yang Allah tentukan, yakin dengan apa yang Allah kurniakan. Secara keseluruhannya ialah yakin kepada Allah. Di sini saya bawakan satu situasi di mana  keyakinan kepada Tuhan, Allah yang Maha Esa itu lebih penting dari segalanya isi dunia. Bayangkan kita berada dalam sebuah kapal yang sedang belayar menuju ke sebuah tempat. Dengan tiba-tiba kapal tersebut terhenti, laut bergelombang menyebabkan kapal yang kita naiki bergoyang-goyang, hujan turun mencurah-curah, dengan kilat sambar menyambar. Ditambah lagi dengan suasana yang kelam kabut dengan suara tangisan kanak-kanak dan jeritan orang dewasa. Pada waktu itu, apakah yang ada dalam fikiran kita? Pada siapakah kita ingin meminta pertolongan? Ibu dan ayah kah? Pada siapa kita hendak mengadu? Pada kekasih kah? Adakah ibu dan ayah kita boleh membantu kita? Bolehkah kekasih dunia kita datang menolong? Tak sekali-kali! Hanya Allah harapan kita. Hanya Allah tempat kita memohon pertolongan, Allah juga tempat kita mengadu. Hanya dengan yakin akan Allah, hati kita akan menjadi tenang. Hanya mengharap pada Allah, kita lebih bersemangat untuk berusaha. Hanya mengadu pada Allah, kita akan rasa diri kita diambil berat. Hanya dengan meminta petunjuk dari Allah, kita akan rasa keputusan yang kita telah putuskan itu adalah keputusan terbaik untuk dunia akhirat kita.
Kembali kepada konsep yakin. Andai kita ditimpa sesuatu masalah yang besar sehingga kita buntu untuk mencari jalan penyelesainnya, perlukah kita mengeluh? Perlukah kita mencari kesalahan? Tidak ada jalan penyelesaian selain berusaha, meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah. Dan yang paling penting, YAKIN dengan Allah. Yakin setiap dugaan yang diberikan sesuai dengan tahap kemampuan kita. Dan setiap kesusahan pasti ada kemudahan seperti yang tercatat dalam surah al Insyirah yang bermaksud …’disebalik kesusahan pasti ada kemudahan’… hanya itu yang perlu kita yakini.
Saya ada seorang sahabat yang diuji dengan masalah peribadi yang sangat rumit. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi dengan berkat kesabaran, ketabahan dan keyakinannya pada Allah, Alhamdulillah, Allah permudahkan urusannya dengan membuka hati orang disekelilingnya untuk membantu diri dia yang kesusahan. Allah berikan perasaan sayang dalam diri orang di sekekliling untuk menyayangi dirinya sehingga sampai pada satu tahap di mana salah seorang sahabatnya sanggup membantu dirinya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan segalanya selesai.
Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah, hamba penuh dengan kelemahan dan kekurangan mestilah yakin terhadap Allah, mengharapkan rahmat, redha, petunjuk dan bantuan dari Allah. Tidak ada apa yang lebih membahagiakan selain dapat melatih diri bersabar dan tabah dalam setiap dugaan dan ujian yang dikurniakan. Tidak ada apa yang lebih tenang selain dari menyerahkan sepenuh pengharapan kepada Allah dan tidak ada apa yang lebih bermakna selain dapat berkorban jiwa dan harta di jalan Allah.  Ujian dan dugaan adalah tanda kasih sayang Allah terhadap hambanya. Resahlah jika kita tidak diuji.
                                                                                                       

Aisya Nabiella

Alhamdulillah, akhirnye dapat juga tengok blog ni.. Hmm, malam ni sesi meluah perasaan.. Indahnya berukhwah.. Bahagianya bila kita memberi pertolongan tanpa meminta balasan. Seronoknya bila dapat bertemu dengan seseorang yang kita harapkan pertemuan tambahan lagi seorang itu istimewa di hati kita.. Begitu jugalah diriku. Alhamdulillah, tak sampai setahun kami berkenalan, akhirnya dengan izin Allah, dapat juga aku bertemu dengan dia. Seorang sahabat yang aku sayangi melebihi sayang pada diriku sendiri. Seperti biasa, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itulah hakikat yang perlu aku terima. Sekarang, aku merindui dirinya..


Siapakah dia??

Dia seorang wanita, bakal ibu, saudara seislamku. Dia merupakan seorang yang baru memeluk Islam atas dasar kecintaannya terhadap Islam. Perkenalanku bermula dengan seorang kawan seislamku.  Kawan seislam memperkenalkan aku kepada dia atas dasar seorang Islam. Permulaan perkenalanku dengannya, aku rasa gemuruh. Aku diberi tanggungjawab membimbing dia mendalami Islam. Tetapi lama kelamaan aku merasakan satu perasaan yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata bila kami berhubung. Satu ketenangan, keseronokan dan kebahagiaan.

Hari ini merupakan kali pertama aku berjumpa dengannya. 15 September menjadi hari sejarah buat aku dan dia. Aku terharu apabila melihat dirinya. Wajahnya berseri-seri walaupun sedikit pucat kerana keletihan. Senyumannya menyejukkan walaupun senyuman menahan sakit. Aku faham situasinya.

Mungkin itulah nikmat seorang mualaf. Semua orang menyayanginya termasuk diriku. Aku sangat menyayanginya. Tersangat sayang. Aisya Nabiella, harapan mira kita bertemu lagi. Kali ini bukan berdua, tetapi bertiga, termasuk bayi dalam kandungan tu..

Tuesday, June 28, 2011

Hikmah & Pengajaran Israk Mikraj


Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).

Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.

Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).

Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.

Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.

Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.

Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Friday, June 24, 2011

Allah Maha Besar..

Assalamualaikum.. Alhamdulillah, syukur pada Allah yang Maha Pemurah kerana masih memberi peluang kepada saya untuk teruskan perjuangan ini. Maha Suci Allah yang telah memberi nikmat iman dan Islam untuk meneruskan perjalanan hidup sebagai khalifah di bumi ini. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberi peluang kepada kita semua untuk terus bertaubat atas segala dosa dan kelalaian kita serta meneruskan ketaqwaan kita pada-Nya. Firman Allah:

Hai manusia, sembahlah Rabb-mu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa. (surah al-Baqarah, ayat 21)


Hari ini saya amat bersyukur kerana telah dikurniakan sesuatu yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Maha Suci Allah telah memberikan saya pengalaman yang sangat indah. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan segala kurniannya.

Di sini saya ingin menyampaikan sesuatu yang sangat berharga yang tidak pernah saya lalui sebelum ini. Sesuatu yang sangat berharga, yang telah menyedarkan diri ini bahawa tiada yang mustahil bagi Allah dalam segala hal.

Firman Allah yang bermaksud:
Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit! Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.  
(Surah al-Baqarah; ayat 29)

Selama ini saya selalu tengok kebesaran Allah di internet, buku-buku, mendengar cerita dari sahabat-sahabat. Tetapi, semalam saya telah melihat sendiri apa yang telah saya tengok di internet. Subhanallah.. 

Selalunya selepas bersama-sama keluarga menonton telivisyen, saya akan terus tidur, tetapi malam tadi saya keluar rumah untuk mengambil angin di halaman rumah. Saya melihat sekeliling, saya melihat langit..Subhanallah, cantiknye.. Bintang-bintang bertaburan.. Saya memandang dengan penuh rasa syukur.. Dan sambil meneliti bintang-bintang di langit, saya ternampak bintang tersebut tersusun elok membentuk nama Allah dalam tulisan jawi.. Subhanallah.. Alhamdulillah, Allahuakbar.. Betapa saya sangat bertuah kerana telah terpilih untuk melihat kebesaran Allah.. Saya tak kan melupakan pengalaman tersebut, InsyaAllah..

Firman Allah yang bermaksud;

Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. 
(Surah Al-Baqarah; ayat 25)

Semoga pengalaman yang saya kongsikan ini mendidik diri kita semua untuk terus berubah ke arah kebaikan dan istiqamah dengan perubahan tersebut. InsyaAllah, amin.. 






Wednesday, June 22, 2011

Bersangka baik


Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku
kufur dan berbuat buruk.

~pEringaTan kepAdA saya..dan perkongsiAn utk semUa.~

kata-kata Imam Ghazali

Monday, June 20, 2011

Duhai Hati, Janganlah Terkorban Dengan Dunia


Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.
Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?
Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.
Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?
Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)


Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.
Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)


Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?
Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.
Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?
Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?
Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?
"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)


Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

Friday, June 10, 2011

Cinta Abu Ubaidah Al-Jarrah

Assalamualaikum.. Hari ini, mari kita kenal seorang sahabat Rasulullah yang begitu mencintai baginda. Nama diberi ialah Abu Ubaidah Al-Jarrah. Beliau telah ditakdirkan Allah memeluk Islam sewaktu hari-hari pertama Saidina Abu Bakar As-Siddiq berdakwah menyebarkan Islam. Beliau terlalu istimewa di sisi Rasulullah. Beliau berperawakan tinggi, berbadan kurus, mempunyai wajah yang berurat, berjanggut nipis dan kedua-dua gigi hadapannya patah.

Rasulullah s.a.w bersabda, " Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah". Sejak beliau menjadi ahli tauhid, beliau siap berkorban apa sahaja di jalan Allah dan mengabdikan seluruh hidupnya untuk menitip keredhaan Illahi.

Beliau tidak pernah mencari keuntungan dunia, hatta untuk dirinya sendiri. Sebaliknya, kesemuanya dipersembahkan hanya untuk Allah yang memiliki segenap jiwa. Beliau sangat amanah dan bertanggungjawab terhadap setiap tugas yang dipikulnya.

PERANG UHUD

Ketika Perang uhud, belaiu sentiasa berada disamping Rasulullah dan mempertaruhkan nyawanya demi baginda. Beliau tahu sangat kuat einginan musuh untuk menumpaskan kekaih Allah itu.

Saat beliau meluhat ada bahaya yang datang mengancam kekasihnya itu, beliau akan bergerak sepantas kilat melawan dan menebas setiap satu musuh yang cuba untuk mengapa-apakan Rasulullah.

Suatu ketika saat perang, beliau terpisah dari Rasulullah SAW akibat pertempuran antara pihak Muslimin dan pihak kafir yang sangat getir. Hampir-hampir sahaja gelap matanya saat melihat satu anak panah meluncur laju mengenai Rasulullah sehingga berdarah-darah wajah yang mulia itu. 

Dia segera mendekati Rasulullah SAW dan menolak jauh rasa sakit pada tubuhnya sendiri yang dilukai oleh musuh-musuh samata-mata ingin mempertahankan nyawa Rasulullah. "Sungguh celakalah golongan yang menyakiti kekasih Allah ini. Celakalah mereka, Ya Allah! Tidak ada secalit dosa pun yang kekasih-Mu ini lakukan terhadap mereka. Sungguh mereka ini melampaui batas!"

Peristiwa itu menyebabkan dua buah mata rantai penutup kepala Rasulullah terlekat di kedua-dua pipi baginda. Abu Ubaidah tidak dapat menahan dirinya daripada melihat perkara yang sangat menyesakkan jiwanya. Beliau dengan nekad menggigit mata rantai itu lalu menariknya dengan kuat dari pipi Rasulullah sehingga tercabut keluar. Akibatnya, satu gigi hadapannya patah. Kemudian beliau mencabut satu lagi mata rantai tersebut dari pipi baginda dan akhirnya kedua-dua gigi hadapannya patah dan tercabut.

Tak terbayang sehingga ke tahap ini pengorbanan beliau terhadap agama. Malah, tak tercapai akal betapa dalam dan tingginya cinta beliau terhadap Rasulullah itu..   

Monday, June 6, 2011

Jangan Bersedih..

Assalamualaikum wbt.. Pagi ni terasa suasana yang nyaman, indah lagi menenangkan.. Subhanallah..Itu salah satu tanda kekuasaan-Nya..

Setiap manusia pasti akan diuji.. kaya atau miskin, sihat atau sakit, lapang dan banyak lagi yang berlaku dalam hidup kita merupakan ujian untuk diri kita. Sama ada ujian-ujian tersebut untuk menguji keimanan kita atau menghapuskan dosa-dosa kita.

Firman Allah yang bermaksud,

..adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata ‘kami telah beriman’ tanpa mereka diuji.
.Dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta:.
(al-Ankabut:2&3)


Kadang-kadang kita terasa lemah dengan ujian-ujian yang datang. Hampir-hampir berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah apabila datangnya ujian yang tidak kita jangkau.. Tetapi ingatlah firman Allah yang bermaksud


… dan ketahuilah, Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya…
(al-Baqarah:286)


Allah telah menyatakan bahawa Allah tidak akan membebani hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang di luar kemampuannya. Bermakna setiap ujian yang kita hadapi, semestinya kita mampu menghadapinya. 

Allah juga telah tegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud,


… sesungguhnya disamping kesusahan bersamanya kemudahan…
… (ditegaskan sekali lagi) disamping kesusahan bersamanya kemudahan…
(al-Insyirah:5&6)


Allah telah berjanji bahawa setiap kesusahan yang kita lalui itu, ada kemudahannya.. Setiap apa masalah yang terpaksa kita lalui pasti ada penyelesainnya.. Yang perlu ada dalam diri kita ialah SABAR.. Sabar itu sangat penting untuk diri kita dan masa akan datang..

Firman Allah yang bermaksud,


“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(Surah Al-Imran ayat 200)


Jadi janganlah kita bersedih dengan segala yang ujian yang kitakan terlalu berat untuk kita lalui.. Optimis dan percayalah pada diri kita sendiri.. Optimis terhadap ujian yang dikurniakan dan percayalah bahawa diri kita mampu untuk menghadapinya.. Itulah ubat yang terbaik untuk kita teguh berdiri di saat tsunami kehidupan melanda..  Percayalah pada diri, perbaharuilah hidup kita.. Sekalipun seluruh dunia tidak percaya kita mampu untuk memperbaharui hidup, tidak mengapa.. Yang pasti, kita percaya pada diri kita sendiri.. Ingatlah sahabatku, saat kita merasa tidak punya nsesiapa di samping kita, ingatlah kita masih ada Allah. Saat kita merasa tiada apa lagi yang dapat kita harapkan di dunia ini, ingatlah masih ada Allah untuk kita harapkan..

Ayuh sahabat, lukislah kekuatan kita melalui ujian yang melanda dan teruskanlah berusaha untuk senyum di saat kita bersedih dan tertekan.. Ayuh, jangan bersedih!!