Friday, December 24, 2010

PENGALAMAN..

Assalamualaikum.. lama sangat rasanya tak masukkan ape2 dalam blog ni.. rindu pulak..:-)..hmm.. sepanjang cuti semester ni, banyak yang dah berlaku..suka, duka, pahit, manis, semuanya berlalu dalam sekelip mata..Alhamdulillah, saya dapat hadapinya.. yang manis dan suka, saya bersyukur semoga ianya kekal, manakala yang pahit dan duka, saya juga bersyukur dan menjadikannya pengaajaran..
Pengalaman merupakan guru yang paling baik untuk setiap orang.. semua orang mempunyai pengalaman sendiri dan pengalaman tersebut hendaklah dijadikan satu pengajaran atau peringatan untuk kita semua semoga kita tidak melalukan kesalahan yang sama di masa depan. Kita juga mestilah belajar dari pengalaman orang lain juga. Hal ini kerana pengalaman orang lain boleh membantu kita untuk jadi lebih matang dan berfikiran terbuka serta boleh membuat keputusan dengan tepat.
Dalam menghadapi sesuatu situasi, kita mestilah berfikiran terbuka dan berfikir dengan lebih matang. Banyak yang perlu kita fikirkan terutamanya tentang akibat dari keputusan yang akan kita ambil. Kita boleh jadikan pengalaman kita yang lalu atau pengalaman orang lain sebagai kayu ukur keputusan yang akan kita buat. Sejauh mana ketepatan keputusan yang kita buat bermula dengan pemikiran kita sebelum kita membuat keputusan tersebut. Bak kata orang, “BEGIN WITH THE END”.
Pengalaman merupakan sesuatu yang berharga. Kita mesti menjadikannya sebagai satu motivasi untuk diri sendiri dalam menjalani arus kehidupan yang penuh dengan helah dan tipu daya. Selain daripada pengalaman, pemikiran yang positif boleh membentuk peribadi yang unggul dan membuat keputusan yang terbaik dalam apa juga keadaan.
Melalui pengalaman saya, ramai orang atau boleh dikatakan semua orang yang ingin menjadi baik. Malahan sejahat-jahat manusia, terdetik juga dalam dirinya untuk menjadi baik. Ada yang teringin menjadi wanita yang solehah, ada yang ingin menjadi lelaki soleh, ada yang ingin berjaya dan tolong orang lain dan macam-macam lagi keinginan untuk menjadi baik. Hal ini kerana fitrah manusia yang inginkan kebaikan. Tetapi, mengapa kita tidak menjadi sepeti apa yang kita inginkan? Apakah yang perlu kita lakukan untuk kita jadi baik dan istiqamah menjadi baik?
Saya tidak boleh menjawab soalan itu. Hanya diri kita sendiri sahaja yang boleh jawab soalan serumit itu. Hanya diri kita yang tahu tahap kemapuan kita sendiri. Apa yang boleh saya bantu, kita mesti berfikir akan kebaikan dan keburukan tentang sesuatu yang ingin kita lakukan dan muhasabah diri selepas apa yang kita lakukan. Pemikiran kita mestilah di dalam skop aqidah dan syariah Islam demi mencapai apa yang kita inginkan. Selain itu, kita mestilah redha dengan apa yang terjadi walaupun sesuatu yang telah terjadi itu di luar rancangan kita. Bak kata kawan baik saya, kita merancang, Allah juga merancang, tetapi rancangan Allah adalah yang terbaik. Apa-apa pun yang berlaku dan akan berlaku semuanya kehendak dan rancangan Allah. Kita sebagai manusia perlulah berusaha dan bertawakal kepadaNya agar sentiasa dalam limpahan kasih dan sayang serta rahmat-Nya.
Di sini ada sedikit informasi tentang Islam. Mari kita sama-sama hayati dan amalkannya..

11 jenis manusia didoa Malaikat
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

No comments:

Post a Comment