Saturday, October 29, 2011

Rezeki daripada Siapa???


Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.
"...dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).
Kali ini mari kita merenung serangkai ayat Qur'an yang menceritakan tentang rezeki. Firman Allah SWT :

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
"......dan tiada satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya" (Surah Hud, ayat 6).

Jaminan rezeki dari Allah SWT pada mahklukNya adalah jaminan yang pasti lagi benar bagi menunjukkan betapa Maha Kaya Allah yang memiliki segala sifat kebesaranNya.

Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ
"Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan" (Surah Ali Imran, ayat 109).

Selain dari Allah SWT siapa lagi yang boleh mencukupkan sumber rezeki yang tidak pernah putus-putus bagi menyambung kitaran kehidupan di alam ini. Bukan satu atau dua hari tetapi ribuan malah mungkin jutaan tahun. Hanya Dia sahaja yang berhak dan layak untuk menurun dan mengeluarkan segala rezeki dari sumber mana yang dikehendakiNya.
Inilah antara makna "Ilah" yang terkandung di dalam kalimah syahadah iaitu "la ilah haillallah". Dalam permasalahan rezeki, kalimah syahadah ini mengajar kita iktiqad "Tidak ada yang memberi rezeki melainkan Allah". Jika seseorang mengakui bahawa ada makhluk yang memberi selain Allah SWT bererti dia telah beriktikad dengan iktikad yang salah dan boleh membawa kepada syirik.

Majikan atau tempat kita kerja adalah seperti posmen yang menghantar surat kepada seseorang. Bukannya surat itu daripadanya sendiri kerana rezeki yang berada ditangannya itu juga datang dari Allah. Bagaimana jika Allah menahan rezeki kepadanya?

Firman Allah SWT :
أَمَّنْ هَٰذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ ۚ
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21).

Pada waktu pagi kita dianjurkan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ فَمِنْكَ وَحْدَكَ ، لا شَرِيكَ لَكَ ، فَلَكَ الْحَمْدُ ، وَلَكَ الشُّكْرُ
"Ya Allah, pada pagi-pagi ini, apa juga nikmat yang ada padaku atau mana-mana makhlukMu, semuanya dariMu. Tiada sekutu bagiMu. Milikmu segala pujian dan terima kasih kami" (Zikir al-Ma'surat. Riwayat Imam an-Nasai dari Abdullah bin Ghannam r.a.).

Ini membawa pengertian supaya akidah tauhid kita dibetulkan sebelum kita memulakan aktiviti mencari rezeki pada awal-awal pagi. Manusia hanyalah makhluk yang sangat lemah sehingga tidak mampu menjadikan sebiji nasi pun di atas bumi ini dan bergantung kepada pohon padi dari ciptaan Allah SWT.
Allah SWT menjamin rezeki pada semua mahluk tetapi kenapa ada yang mati kebuluran. Hal ini diterangkan Allah dalam firmanNya :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah ar-Rum, ayat 41).
Kematian dan kebuluran 26 ribu orang di Euthopia bukti sebuah kebinasaan akibat dari pendurhakaan manusia. Bumi dirosakkan oleh tangan-tangan manusia seperti tubuh badan yang dirosakkan oleh ubatan kimia yang bernama drugs. Tubuh yang dibekalkan dengan sistem imuniti juga hancur akibat dari dadah yang diambilnya pada setiap hari. Inilah sebabnya Allah menurunkan peraturan hidup yang sempurna untuk kesinambungan rezeki dan hidup di dunia ini.
Bagi menyelamat dunia yang kian hancur ini hanya satu sahaja iaitu ugama Allah. Ugama yang perlu ditegakkan sebagai "deenulhayah" untuk kesejahteraan ummat di muka bumi ini jika tidak terimalah padahnya iaitu penderitaan dan kemusnahan.
Perkara kedua dari ayat awal di atas difahami bahawa rezeki itu juga perlu dicari sebagaimana Allah menyatakan dengan kalimah "makhluk bergerak" bukannya hanya menanti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang. Lihatlah rezeki seekor burung yang terjamin apabila ia keluar dari sarangnya. Kemalasan berikhtiar menjadikan periuk nasi juga kosong bukan kerana tidak ada jaminan dari Allah tetapi kerana ia yang memilih untuk itu.
Ini terkecuali dengan ujian dari Allah yg berupa kekurangan makanan dan buah-buahan seperti firman Allah:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Ujian adalah hak Allah sama seperti rezeki. Hikmah dari ujian akan menjadikan sesuatu ummat itu bertambah kuat bukannya semakin lemah. Ia tergantung bagaimana sikap yang diambil terhadap ujian yang menimpanya. Jika ujian itu mematikan jiwa dan semangatnya, petandanya Allahlah yang menyempitkan kehidupannya seperti asma' Allah yang bernama "Al Qobidh".
 
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan" (Surah al-Baqarah, ayat 245).

Bangsa-bangsa yang terus "bergerak" telah menguasai dunia dibandingkan dengan bangsa yang suka berpeluk tubuh. Mereka menguasai semua bidang keilmuan di atas pokok perubahan yang dilakukan pada setiap detik. Rezeki itu kuncinya ilmu kerana itulah ia perlu bergerak bagi mencarinya.
Berkata Imam Syafi'ie rhm:
من أراد الدنيا فعليه بالعلم ومن أراد الآخرة فعليه بالعلم
"Sesiapa mengingini dunia, ia memerlukan ilmu. Sesiapa menghendaki akhirat, ia juga memerlukan ilmu".
Nasib itu tidak terletak pada tapak tangan tetapi terletak pada tangan dan kaki. Keluar dari zon statik kepada zon dinamik untuk mengubah nasib yang menimpa diri sendiri.
Firman Allah SWT :

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah ar-Ra'du, ayat 11).

Soal rezeki terlalu panjang perbahasannya tetapi penutupnya pula adalah pendek lagi ringkas iaitu semuanya rezeki itu adalah datang dari Ar Razaq.

Sumber Artikel: Rezeki dari Allah

فَإِذَا مَسَّ الْإِنسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِّنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 245)
 

Friday, October 14, 2011

Allah Pasti Membantu Jika Kita Mahu Berubah Menjadi Baik


Alhamdulillah ke hadrat Ilahi atas kemudahan daripada-Nya pada perubahanku kini. Jika dibandingkan aku yang dulu dan kini, perubahannya sangat ketara dan aku rasa perubahan ini sangat menggembirakan aku mungkin juga orang di sekelilingku. Menatap gambarku di kala silam pada malam hari semalam dan melihat diriku yang kini menambah rasa bersyukur dan perasaan bahawa Allah itu masih sayangkan aku dan amat menyayangiku.

Menjadi baik itu adalah fitrah manusia begitu juga dengan soleh dan solehah. Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah pilihan sama ada berlandaskan nafsu atau ilham takwa daripada Allah. Beruntunglah bagi hamba-Nya yang Allah kurniakan takwa yang mana Allah bimbing hamba-Nya yang dikasihi dalam tiap apa yang dia lakukan agar dapat menggapai redha-Nya. Oleh sebab itu, sentiasalah memohon kepada Allah agar tiap apa yang kita lakukan mendapat bimbingan daripada Allah kerana sesungguhnya dengan rahmat Allah lah kita dapat masuk syurga dan sebaliknyaBUKANdengan amalan atau perkara lain. Hanya dengan rahmat Allah.
Kenakalanku sejak di bangku sekolah kadang kala memberi penyesalan sementara padaku dan aku kerap mengulanginya. Daripada terhadap orang lain dan keluarga sendiri, aku tidak serik berbuat nakal kepada mereka. Semakin aku beranjak dewasa dan berfikiran luas tentang dunia, Allah mula menitipkan hati ini agar berubah ke arah lebih baik. Sejak sebelum peperiksaan PMR di tingkatan 3 lagi, aku sudah berniat untuk berhijrah ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaranku untuk mempermudah perubahanku kerana sahabat adalah cermin diri kita. 
"Jika mahu mengenal diri kita, lihatlah pada sahabat kita"
Oleh sebab itu, aku tekad untuk berhijrah ke sekolah lain agar perubahan itu sedikit sebanyak dapat diteruskan dengan lancar dan alhamdulillah sejak berpindah di sekolah teknik, aku mula dekatkan diri dengan Allah melalui Al-Quran dan solat berjemaah kerana aku mula masuk asrama dan seperti yang anda tahu, apabila kita terlibat dengan asrama, kita perlu patuhi aktiviti yang ditetapkan. Antaranya turun ke surau pada waktu Maghrib, prep (belajar di bilik belajar), supper (makan setelah tamat prep malam).
Namun sedikit aku tergelincir apabila aku bertemu dengan seseorang tetapi alhamdulillah hampir setahun selepas itu, aku kembali di landasan hijrahku. Setelah itu aku berhijrah ke kolej matrikulasi. Allah mula permudah aku untuk mendapat bimbingan daripada muslimah yang boleh aku harapkan. Antaranya kakak fasilitator yang bertudung labuh ketika aku orientasi selama seminggu. Merekalah yang menjadi permulaan bagi aku mula berubah ke arah solehah dengan memakai stokin. Amalan yang kakak fasi tetapkan terus tersemat dalam hati aku. Alhamdulillah dan dari situlah aku mengenali kakak yang memberi aku inspirasi untuk bertudung labuh. Aku berkenalan rapat dengan salah seorang daripada mereka, kak Su. Dialah yang menjadi tempat luahan aku untuk aku berkongsi tentang niat aku untuk berubah. Aku tekad. Aku ingin berubah atau hidayah dan titik ilham taqwa itu akan Allah ambil dan mungkin aku tidak akan dapat lagi hidayah sebegitu seumur hidupku sehingga aku mati.
Aku mengagumi kak Su kerana dia tidak memperlekeh masa silamku malah dia memberi aku dorongan untuk berubah. Sebenarnya itulah yang patut kita lakukan,
"Jangan pernah perlekeh atau perkecilkan orang lain hatta dia berzina atau melakukan dosa besar yang paling dahsyat sekalipun kerana tidak mustahil kita menjadi seperti dia walaupun kini kita adalah seseorang yang soleh atau solehah"
Aku menyedari bahawa Allah sangat membantu aku dalam penghijrahan ini. Apetah lagi sekarang. Kesedaran aku terhadap Allah yang membantu dan mempermudah aku semakin meningkat daripada sehari ke sehari. Berdaftarnya aku di Management & Science University (MSU) pada mulanya membuat aku sedih kerana akulah satu-satunya pelajar di kolej matrikulasiku yang masuk IPTS. Mereka yang lain dapat masuk IPTA. Aku sangat bersedih ketika itu. Kadang-kala aku marah dan menyalahkan aku. Lama kelamaan hikmah di sebaliknya mula tersingkap sedikit demi sedikit dengan melihat diriku yang kini. Aku mula menyesali kerana aku marah pada Allah dan berterima kasih padanya atas semua ini. Mungkin kalau aku tak masuk MSU, aku tak jadi macam sekarang.
Daripada MSU lah aku kenal sahabat-sahabat yang padaku sahabat solehah yang aku boleh harapkan untuk membantu penghijrahanku. Aku mula kenal usrah, badan-badan dakwah seperti GAMIS, IKRAM, ABIM, PEMBINA dan lain-lain. Begitu juga dengan para ulama'. Mula membaca buku-buku ilmiah yang memberi kesedaran dan muhasabah buat diri ini. Sahabat-sahabat aku di MSU lah yang menjadi perantara-Nya dalam membantu aku berubah. Aku tertarik kepada sepatah ayat daripada naqibahku,
"Jika kita nak berubah menjadi baik, Allah akan berikan kita kawan-kawan yang baik. Ada sahaja mereka-mereka yang daripada mana, kita dapat kenal"
Dan itu jugalah yang terjadi pada aku. Jika kita nak berubah menjadi baik, insyaAllah Allah akan tolong. Janganlah kita ragu pada Allah. Mohonlah pada Allah agar penghijrahan kita untuk menjadi soleh dan solehah akan dipermudah oleh-Nya. Sesungguhnya Allah lah sebaik-baik penolong dan pelindung dan janganlah pula kita lupa untuk berterima kasih dengan Dia kerana sentiasa mempermudahkan kita dalam penghjirahan ini.
Kepada yang terdetik untuk berubah menjadi baik, mulakanlah langkah pertama secepatnya kerana mungkin detikan itu TIDAK AKAN terdetik lagi seumur hidup anda. Jangan biarkan ia tersia-sia di dalam hati.


Monday, October 10, 2011

Perlukah cinta sebelum nikah??

Assalamualaikum wbt.. Berjalan-jalan di alam maya membuatkan saya berjumpa sesuatu yang sering diperkatakan, sering menjadi isu dalam kehidupan remaja zaman sekarang.. Apakah isu tersebut??? 

Cinta.. Itulah isu yang selalu diperkatakan, selau dibincangkan dan selalu diinginkan oleh setiap remaja.. Memang lumrah setiap orang mempunyai perasaan ingin disayangi dan menyayangi, ingin dicintai dan menyintai.. Tetapi, biarlah rasa sayang dan cinta itu dipendam dahulu selagi masih belum ada kemampuan untuk bersama dengan hubungan yang halal, iaitu nikah..

Adik-adik yang disayangi.. 

Tak perlulah menyerahkan rasa sayang, rasa cinta kepada lelaki atau perempuan yang kita cintai itu.. Sebaiknya adik-adik pendam dahulu perasaan itu, tetapi dalam masa yang sama, jadikan dia yang adik-adik cintai itu sebagai sumber inspirasi dalam hidup secara senyap dan berdoa moga suatu hari nanti adik-adik akan bertemu dengannya dalam keadaan yang lebih baik dan mempunyai kemampuan untuk memilikinya secara sah.. 

Adik-adik yang dikasihi..

Terlalu banyak risikonya jika adik ingin bercinta atau bak kate orang sekarang "couple" dalam usia semuda sekolah menengah, ada juga yang ber"couple" pada usia sekolah rendah.. Sedarlah adik-adik, perjalanan hidup adik-adik masih panjang, masih banyak lagi tanggungjawab yang belum adik-adik selesaikan.. Tidak terfikirkah adik-adik bercinta di usia muda itu mendatangkan beban dan komitmen yang lebih dan membuatkan adik-adik kurang menumpukan perhatian kepada yang lebih berhak seperti perhatian kepada ibu bapa dan pelajaran? Tidak terfikirkah adik-adik jika sesuatu terjadi dalam hubungan cinta adik-adik tersebut?

Cara akak cakap macam adik-adik ni bercinta serius je kan? Yup, bagi akak, apa-apa tentang perasaan, akak akan anggap serius.. Kita manusia, ada hati dan perasaan.. Ada rasa bahagia, ada rasa kecewa, ada rasa seronok, ada rasa sedih.. Walaupun kita tidak seruis terhadap hubungan yang telah terbina, adik-adik rasa perasaan itu akan sama tak dengan perasaan berseorangan (tak bercinta)? Tidak kan?? Sebab itulah, akak nasihat, tak perlulah adik-adik bercinta tidak kira waktu remaja atau bila-bila, tetapi, bercintalah selepas adik-adik dah pasti yang si dia tu hanya milik kita, maknanya dah jadi suami atau isteri kita.

"Lambat sangat lah akak.. Saya suka kan dia.. Apa salahnye kami bercinta dulu, bila dah mampu, kami nikah lah"..

Oh adik-adikku sayang.. Jodoh ketentuan Allah.. Adik-adik tahukah bahawa si dia yang adik-adik cintai itu jodah adik? Pastikah? Bagaimana kalau si dia bukan jodoh adik-adik? Tepuk dada tanya IMAN, nak tanya HATI pun boleh, tapi jawapan tu mesti kene logik ye.. :)

Cakap tentang jodoh ni, akak nak bawakan satu kisah pada adik-adik.. Kisah berlaku dalam hidup seseorang.. Sememangnya realiti.. Kisah cinta pasangan kekasih..

Akak perkenalkan Amir (bukan nama sebenar) sebagai watak si lelaki dan Humaira (juga bukan nama sebenar) untuk watak si wanita..

Humaira ialah salah seorang pelajar baru di sekolah Amir yang merupakan seorang pendiam jika tidak dirangsang, seorang yang tegas tetapi pemalu dan bijak. Manakala Amir pula seorang yang pemalu dengan perempuan, bijak dan agak popular.

Humaira dan Amir berada dalam tingkatan yang sama, tetapi dalam kelas yang berbeza. Perkenalan Humaira dan Amir bermula apabila mereka ditakdirkan berada dalam satu kumpulan yang sama dalam satu program di sekolah. Amir merupakan ketua kumpulan tersebut, manakala Humaira adalah penolongnya.

Perkenalan mereka berterusan sehingga habis program tersebut. Dipendekkan cerita, dua bulan selepas program tersebut, mereka mula bercinta. 

Bagi Humaira, Amir merupakan seorang lelaki yang baik yang pemalu, berpegang pada agama dan semua ciri-ciri yang ada pada Amir merupakan ciri-ciri lelaki idaman Humaira. Begitu juga Amir.

Masa berlalu.. tiba masanya untuk Amir dan Humaira melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat seterusnya. Humaira mendapat tawaran matrikulasi, Amir pula membuat keputusan untuk menyambung pelajarannya di sekolah yang sama sebagai pelajar tingkatan 6. 

Amir begitu risaukan Humaira akan berjumpa dengan lelaki lain di matrikulasi. Atas alasan itu, dia menyekat kebebasan Humaira untuk berkawan. Baginya, no smiling, no talking, no discussion with other man except him. Oleh sebab terlalu hormat dan sayangkan kekasihnya, Humaira sedaya upaya menyekat kebebasan dirinya dan mengelakkan diri dari berbuat apa yang dilarang oleh sang kekasih. 

Tiba masanya Humaira melanjutkan pelajarannya ke Universiti. Sang kekasih bertambah cemburu. Alasan dan amaran yang sama diberikan kepada Humaira. Atas rasa sayangkan kekasih, Humaira sanggup berbuat apa sahaja..

Tiba giliran Amir melanjutkan pelajarannya ke Universiti..Sebelum pergi, Amir berjumpa dengan ibu Humaira untuk mengikat Humaira dengan tali pertunangan.. Tetapi, ibu Humaira menasihati agar Amir belajar dahulu..

Amir pergi dengan hati yang berat.. Jauhnya dia meninggalkan Humaira.. Harapan Humaira hanya satu, supaya Amir pulang dengan dirinya yang sedia ada, tidak berubah dek perubahan tempat..

Hari demi hari berlalu.. Amir semakin sibuk dengan kursus yang diambil.. Humaira hanya bersabar memahami Amir yang sibuk.. Suatu hari, Humaira bercakap dengan ibunya. Ibunya bertanya tentang Amir.. Dipendekkan cerita, ibu dan ayah Humaira tidak bersetuju Humaira berkawan serius dengan Amir.

Tanpa berfikir panjang, Humaira memutuskan hubungannya dengan Amir.. Seminggu selepas dia menyatakan keputusan untuk berpisah, Humaira menelefon Amir, dan meminta Amir menunggunya serta berdoa moga ibu dan ayahnya boleh menerima Amir.. Tetapi, Amir bukanlah sampah yang boleh dibuang kemudian dikutip semula.. Amir tidak bersetuju untuk memulakan hubungan, tetapi mereka boleh menjadi kawan.. Tetapi, hati Humaira masih tidak dapat melupakan Amir..

11 bulan mereka berpisah, tiba suatu hari, Amir menceritakan bahawa dirinya sudah berkahwin dengan seorang pelajar sekuliahnya.. Dan isterinya sudah mengandungkan anaknya..

Hancurnya hati Humaira hanya Allah yang tahu.. Dalam kekecewaan, Humaira dilamar oleh Amir kembali untuk menjadikannya isteri kedua.. Humaira menolak bukan kerana tidak setuju dengan poligami, tetapi Humaira punya prinsip sendiri. Dia tidak akan sekali-kali mengambil hak orang lain..

Humaira sedaya upaya menerima takdir yang telah ditetapkan untuknya.. Dia sedaya upaya menyimpan perasaan kecewa dan sedih seorang diri dan perlahan-lahan membuangnya.. Baginya, Allah takkan uji dirinya sebegitu jika dia tidak mampu.. Dia yakin dirinya mampu untuk lalui semua yang terjadi..

Akhirnya Humaira boleh hidup tanpa Amir.. Tiada lagi rasa kecewa, tiada lagi harapan untuk Amir.. Yang memenuhi hati Humaira adalah harapan kepada Allah, dan berusaha membetulkan dirinya, memperbaiki akhlaknya dan meletakkan cintanya hanya untuk Allah..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~********~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sedihkan cerita tu?? Bagi adik-adik, siapa yang salah?? 

Bagi akak, tiada sesiapa yang salah.. semuanya ketentuan Allah.. Mereka berjumpa kerana Allah telah tetapkan mereka untuk berjumpa, dan mereka berpisah kerana mereka bukan jodoh. Jodoh si Amir adalah dengan isterinya, dan jodoh Humaira mungkin dengan lelaki yang lebih baik dari Amir. Hanya Allah yang tahu semuanya..

Pengajarannya yang kita boleh ambil dari kisah tersebut, janganlah kita bercinta sebelum nikah.. Kita tidak tahu siapa jodoh kita.. Jadi, usaha kita untuk mendapat jodoh yang baik ialah menjadikan diri kita baik dahulu.. Pelihara diri, hati dan perasaan kita.. Jangan sampai kita kecewa seperti apa yang dirasai oleh Humaira.. Sememangnya kisah hidup seseorang itu tidak sama, tetapi orang yang bijak ialah orang yang mengambil pengajaran daripada kisah orang lain, manakala orang yang bodoh ialah orang yang tidak mengambil apa-apa pengajaran dan mengulangi kesalahan yang sama..

Adik-adik, sama-sama kita renungkan ye.. Remaja pun boleh juga ambil pengajaran dari kisah ni.. =)

Salam sayang untuk adik-adik tersayang...


                                                                                                                                                ~kak miera~