Alhamdulillah ke hadrat Ilahi atas kemudahan daripada-Nya pada perubahanku kini. Jika dibandingkan aku yang dulu dan kini, perubahannya sangat ketara dan aku rasa perubahan ini sangat menggembirakan aku mungkin juga orang di sekelilingku. Menatap gambarku di kala silam pada malam hari semalam dan melihat diriku yang kini menambah rasa bersyukur dan perasaan bahawa Allah itu masih sayangkan aku dan amat menyayangiku.
Menjadi baik itu adalah fitrah manusia begitu juga dengan soleh dan solehah. Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini adalah pilihan sama ada berlandaskan nafsu atau ilham takwa daripada Allah. Beruntunglah bagi hamba-Nya yang Allah kurniakan takwa yang mana Allah bimbing hamba-Nya yang dikasihi dalam tiap apa yang dia lakukan agar dapat menggapai redha-Nya. Oleh sebab itu, sentiasalah memohon kepada Allah agar tiap apa yang kita lakukan mendapat bimbingan daripada Allah kerana sesungguhnya dengan rahmat Allah lah kita dapat masuk syurga dan sebaliknyaBUKANdengan amalan atau perkara lain. Hanya dengan rahmat Allah.
Kenakalanku sejak di bangku sekolah kadang kala memberi penyesalan sementara padaku dan aku kerap mengulanginya. Daripada terhadap orang lain dan keluarga sendiri, aku tidak serik berbuat nakal kepada mereka. Semakin aku beranjak dewasa dan berfikiran luas tentang dunia, Allah mula menitipkan hati ini agar berubah ke arah lebih baik. Sejak sebelum peperiksaan PMR di tingkatan 3 lagi, aku sudah berniat untuk berhijrah ke negeri lain untuk melanjutkan pelajaranku untuk mempermudah perubahanku kerana sahabat adalah cermin diri kita.
"Jika mahu mengenal diri kita, lihatlah pada sahabat kita"
Oleh sebab itu, aku tekad untuk berhijrah ke sekolah lain agar perubahan itu sedikit sebanyak dapat diteruskan dengan lancar dan alhamdulillah sejak berpindah di sekolah teknik, aku mula dekatkan diri dengan Allah melalui Al-Quran dan solat berjemaah kerana aku mula masuk asrama dan seperti yang anda tahu, apabila kita terlibat dengan asrama, kita perlu patuhi aktiviti yang ditetapkan. Antaranya turun ke surau pada waktu Maghrib, prep (belajar di bilik belajar), supper (makan setelah tamat prep malam).
Namun sedikit aku tergelincir apabila aku bertemu dengan seseorang tetapi alhamdulillah hampir setahun selepas itu, aku kembali di landasan hijrahku. Setelah itu aku berhijrah ke kolej matrikulasi. Allah mula permudah aku untuk mendapat bimbingan daripada muslimah yang boleh aku harapkan. Antaranya kakak fasilitator yang bertudung labuh ketika aku orientasi selama seminggu. Merekalah yang menjadi permulaan bagi aku mula berubah ke arah solehah dengan memakai stokin. Amalan yang kakak fasi tetapkan terus tersemat dalam hati aku. Alhamdulillah dan dari situlah aku mengenali kakak yang memberi aku inspirasi untuk bertudung labuh. Aku berkenalan rapat dengan salah seorang daripada mereka, kak Su. Dialah yang menjadi tempat luahan aku untuk aku berkongsi tentang niat aku untuk berubah. Aku tekad. Aku ingin berubah atau hidayah dan titik ilham taqwa itu akan Allah ambil dan mungkin aku tidak akan dapat lagi hidayah sebegitu seumur hidupku sehingga aku mati.
Aku mengagumi kak Su kerana dia tidak memperlekeh masa silamku malah dia memberi aku dorongan untuk berubah. Sebenarnya itulah yang patut kita lakukan,
"Jangan pernah perlekeh atau perkecilkan orang lain hatta dia berzina atau melakukan dosa besar yang paling dahsyat sekalipun kerana tidak mustahil kita menjadi seperti dia walaupun kini kita adalah seseorang yang soleh atau solehah"
Aku menyedari bahawa Allah sangat membantu aku dalam penghijrahan ini. Apetah lagi sekarang. Kesedaran aku terhadap Allah yang membantu dan mempermudah aku semakin meningkat daripada sehari ke sehari. Berdaftarnya aku di Management & Science University (MSU) pada mulanya membuat aku sedih kerana akulah satu-satunya pelajar di kolej matrikulasiku yang masuk IPTS. Mereka yang lain dapat masuk IPTA. Aku sangat bersedih ketika itu. Kadang-kala aku marah dan menyalahkan aku. Lama kelamaan hikmah di sebaliknya mula tersingkap sedikit demi sedikit dengan melihat diriku yang kini. Aku mula menyesali kerana aku marah pada Allah dan berterima kasih padanya atas semua ini. Mungkin kalau aku tak masuk MSU, aku tak jadi macam sekarang.
Daripada MSU lah aku kenal sahabat-sahabat yang padaku sahabat solehah yang aku boleh harapkan untuk membantu penghijrahanku. Aku mula kenal usrah, badan-badan dakwah seperti GAMIS, IKRAM, ABIM, PEMBINA dan lain-lain. Begitu juga dengan para ulama'. Mula membaca buku-buku ilmiah yang memberi kesedaran dan muhasabah buat diri ini. Sahabat-sahabat aku di MSU lah yang menjadi perantara-Nya dalam membantu aku berubah. Aku tertarik kepada sepatah ayat daripada naqibahku,
"Jika kita nak berubah menjadi baik, Allah akan berikan kita kawan-kawan yang baik. Ada sahaja mereka-mereka yang daripada mana, kita dapat kenal"
Dan itu jugalah yang terjadi pada aku. Jika kita nak berubah menjadi baik, insyaAllah Allah akan tolong. Janganlah kita ragu pada Allah. Mohonlah pada Allah agar penghijrahan kita untuk menjadi soleh dan solehah akan dipermudah oleh-Nya. Sesungguhnya Allah lah sebaik-baik penolong dan pelindung dan janganlah pula kita lupa untuk berterima kasih dengan Dia kerana sentiasa mempermudahkan kita dalam penghjirahan ini.
Kepada yang terdetik untuk berubah menjadi baik, mulakanlah langkah pertama secepatnya kerana mungkin detikan itu TIDAK AKAN terdetik lagi seumur hidup anda. Jangan biarkan ia tersia-sia di dalam hati.
No comments:
Post a Comment