Assalamualaikum.."Masa terluang yang ada elok dimanfaatkan dengan sesuatu yang berfaedah". Baru semalam diri ini di "basuh" untuk bersegera berdakwah kerana dakwah merupakan satu tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada umat manusia. Apabila terdengar seruan dakwah, diri ini bagai cacing kepanasan memikirkan cara dan strategi untuk berdakwah. Diri ini menginsafi kelemahan kerana terleka dengan kesenangan dan kelapangan yang diberikan Allah. Diri ini terlupa akan tanggungjawab yang dipikul, digalas di bahu. Ya Allah, ampunkanlah dosaku..
Banyak yang ingin dikongsi bersama pembaca. Perkara pertama yang meyebabkan tangan ini lincah menaip ialah tentang Ilmu Allah. Seperti yang kita ketahui, ilmu Allah itu terlalu luas. Sayangnya, kita manusia pada waktu ini tidak berkeinginan untuk mencarinya, malah untuk memikirkan tentang kejadian alam yang dapat mendidik diri sendiri pun belum tentu lagi. Tidakkah kita ingin mengetahui tentang keajaiban kekuasaan Allah yang Maha Besar?
Pada zaman ini, kebanyakan manusia lebih suka mencari hiburan daripada mencari ilmu. Apabila kita tinjau semula bilangan hadirin pada forum-forum atau seminar-seminar yang melibatkan ilmu dan dibandingkan dengan hadirin pada pesta-pesta hiburan bilangannya banyak bezanya. Selalunya bilangan hadirin pada majlis ilmu begitu sedikit jika dibandingkan dengan pesta-pesta hiburan walaupun untuk ke pesta hiburan tersebut memerlukan sejumlah wang yang agak banyak. Manusia zaman modenisasi ini lebih suka melaburkan wang mereka ke tempat-tempat yang tidak mendatangkan faedah malah mungkin menyebabkan dosa walaupun mereka berada dalam kesempitan. Mengapakan begitu? Tidakkah kita sedar bahawa ilmu yang kita cari itu merupakan satu saham yang sangat berharga bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.
Saya selalu memerhati karenah dan kelakuan sahabat-sahabat yang mengaku dirinya Islam, tetapi apabila diajak berbicara tentang Islam, dirinya akan tersenyum malu. Mengapa? Jawabnya, mereka kekurangan ilmu tentang Islam. Tetapi, apabila berbicara tentang hiburan, subhanAllah, begitu banyak pengetahuan mereka tentang artis-artis terkini, gosip-gosip yang mereka hafal. Mengapa sahabat? Mengapa kamu tidak berusaha mencari ilmu-ilmu tentang Islam untuk berbicara dan berbincang dengan sesiapa sahaja malah sebagai hujah mengapa dirimu beragama Islam. Mengapa kamu tidak ingin pergi ke majlis-majlis ilmu untuk mendidik hatimu dan kamu sendiri tidak akan tersenyum malu lagi apabila diajak berbicara tentang apa sahaja? Tidakkah kamu mahu untuk ke taman syurga di mana di situ para malaikat dan ikan di lautan mendoakan kita? Tidakkah kamu berasa rugi sekiranya tertinggal untuk ke taman syurga? Fikir-fikirkanlah..
Selalu kita memberi alasan untuk ke majlis-majlis ilmu. Ada yang memberi alasan ada kerja, ada yang tidak ingin pergi ke majlis ilmu kerana ada peperiksaan, malah ada juga yang selamba memberi alasan malas, dan tidak ada masa. Mengapa begitu banyak alasan yang diberikan untuk sesuatu yang baik sedangkan 1000 sebab difikirkan untuk ketempat-tempat yang melalaikan? Jika sekiranya kita mempunyai kerja, penting sangatkah kerja itu dibandingkan dengan berjuang untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berharga dari kerja tersebut? Saya tidak pertikaikan sekiranya kerja itu betul-betul sangat penting. Yang saya pertikaikan ialah alasan ada kerja itu sengaja digunakan untuk mengelakkan diri dari diajak ke majlis ilmu. Tidak mempunyai masa untuk ke majlis ilmu. Untuk alasan itu, kita perlu muhasabah diri kita sendiri. Tanya semula diri kita. Masa itu milik siapa? Apakah yang lebih berhak diisi dengan masa itu? Apakah yang kita lakukan untuk mengisi masa yang bukan milik kita itu? Tepuk dada, tanya iman.
Ilmu itu sangat penting. Saidina Ali r.a telah ditanya apakah yang akan dipilih antara ilmu dan harta. Lalu Sahabat Rasulullah tersebut memilih ilmu. Hal ini kerana, jika dibandingkan dengan harta, ilmu itu akan bertambah jika diberikan kepada orang lain, malah, ilmu itu yang akan menjaga diri kita selain ilmu tidak sekali-kali boleh dicuri oleh orang lain. Tetapi harta akan berkurangan akan semakin berkurangan jika kita berikan kepada orang lain, malah kita perlu menjaga harta kita dengan baik agar harta tersebut tidak dicuri.
Apabila berbicara tentang ilmu, ramai yang mengeluh. Mengapa sukar untuk mengingati ilmu yang dipelajari? Mengapa otak tidak boleh terima ilmu yang disampaikan? Malah, ada juga yang sanggup menyalahkan penyampai ilmu tersebut seratus-peratus tanpa muhasabah diri sendiri.
Sebelum kita menyalahkan sesiapa, eloklah kiranya kita bermuhasabah diri sendiri. Adakah kita tidak dapat mengingati ilmu-ilmu yang disampaikan itu kerana dosa-dosa dan maksiat yang mengotorkan hati kita? Adakah kita tidak dapat menguasai ilmu tersebut kerana makanan yang kita makan itu dari sumber yang ragu-ragu dan haram? Adakah ibu dan ayah kita tidak meredhai kita? Fikir-fikirkanlah. Terlalu banyak yang perlu kita fikirkan sebelum menyalahkan orang lain.
Mari kita sama-sama muhasabah diri kita. Adakah kita telah melakukannya sehingga ilmu yang dipelajari sukar untuk diingati. Terdapat 8 perkara yang menjadikan otak kita mudah tumpul. Antaranya :
1. Dosa dan kotoran yang ada di dalam hati.
2. Makanan yang ragu-ragu dan haram.
3. Tiada redha dari ibu bapa.
4. Terlalu sukakan hiburan-hiburan yang melalaikan
5. Banyak tidur. Banyak tidur menyebabkan punca utama kita mudah lupa dan mematikan keinginan kita untuk beribadah.
6. Banyak makan.
7. Banyak berkhayal.
8. Tidak hormat pada guru atau pensyarah.
7 Tip untuk memudahkan kita mendapat ilmu yang disampaikan.
1. Mengerjakan solat wajib 5 waktu ditambah dengan solat sunat tahajjud 2 rakaat.
2. Mestilah selalu dalam keadaan bersuci.
3. Bertaqwa kepada Allah.
4. Menghormati guru.
5. Jauhi maksiat.
6. Berbuat baik pada ibu dan ayah.
7. Banyak berdoa.
Marilah sahabat-sahabat kita muhasabah diri. Sudahkah kita meninggalkan perkara yang boleh menumpulkan otak dan mengamalkan tip yang memudahkan kita mendapat ilmu? Jika belum, ayuh, kita sama-sama berubah meninggalkan yang buruk, mengamalkan yang baik.
Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah. Sama-samalah kita kongsikan ilmu milik Allah ini untuk kebaikan dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment