Assalamualaikum.. Terasa lama sangat tak update blog ni.. Rindu pula nak taip sesuatu untuk pembaca sebagai info tambahan serta tarbiah diri sendiri ke arah yang lebih baik.
Alhamdulillah.. Kalimah yang sering ku ucapkan dan akan terus ku ucapkan selagi hayat dikandung badan. Kalimah suci ini yang membuat aku selalu merasa bahagia walaupun diri ini berada dalam kesusahan yang melemahkan. Aku bersyukur pada Allah yang telah memberikan aku peluang untuk terus mengirup udara-Nya, mengingatkan aku tentang-Nya, memberi petunjuk dan hidayah-Nya dan menjadikan aku seperti sekarang. Alhamdulillah, tidak terluah dengan kata-kata betapa ku bersyukur dengan perasaan bahagia yang dikurniakan oleh-Nya dalam hatiku dikala ini.
Dalam kebahagiaan ini, aku terfikir, Allah yang Maha Agung berkuasa menarik kembali kebahagiaan ini andai aku tidak menghargainya. Aku terfikir akan dosa-dosa yang telah dan bakal aku lakukan sama ada secara sengaja atau tidak, sedar atau tanpa sedar pada hari semalam, hari ini, dan hari-hari yang seterusnya. Aku menjadi takut akan hal itu. Apakah dosa-dosaku akan diampunkan? Ya Allah.. Ampunkanlah dosa-dosaku, kuatkanlah imanku, perindahkanlah akhlahku serta peliharalah maruahku.
Pada hari-hari yang lalu, hidupku diselubungi dengan kekeliruan, kesedihan dan kekecewaan yang tidak mampu ku luahkan menyebabkan diriku menjadi lemah. Kekeliruan tentang sesuatu yang berkaitan dengan personaliti diriku sendiri, kesedihan dan kekecewaan tentang masalah hati. Di waktu itu, aku terasa ingin melarikan diri dari situasi. Tetapi kemanakah harus ku bawa diri ini? Apakah yang akan aku lakukan? apa yang akan terjadi pada masa hadapan jika aku lari dari semua ini? Aku menangis mengenangkan diri ini. Lemahnya hati ini, menangis bila diuji dengan sedikit dugaan. Dalam dilema, aku tersedar lalu tersentap. Diriku milik-Nya! Dia berhak menentukan segala milik-Nya! Dan Dia tidak akan menganiayai hamba-Nya!
Demi mengingatkan itu, aku beristifar kepada-Nya. Ya Allah, lemahnya hambaMu ini. Aku hampir putus harapan pada-Mu. Aku hanya melihat dugaan serta ujian yang Kau berikan padaku, tetapi aku tidak nampak nikmat hidup yang lain. Astagfirullahala'zim. Ampunkan aku Ya Allah. Sesungguhnya aku hamba-Mu yang hina lagi lemah.
Aku beristifar, bertaubat, berusaha menyibukkan diri mengisi waktu-waktu lapangku, berdoa dan bertawakal kepada-Nya agar aku dapat melupakan kisah lalu seterusnya menjumpai diriku sendiri. Aku berdoa dan terus berdoa sambil berusaha tanpa henti.
Akhirnya, alhamdulillah, kekeliruan yang aku alami telah menampakkan penyelesaiannya, kekecewaan dan kesedihan hati telah digantikan dengan kebahagiaan yang tidak terluah dengan kata-kata. Aku bersyukur pada-Mu Ya Allah. alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah..
Pada waktu ini, aku terfikir akan hikmah disebalik kejadian yang lalu. Banyak hikmahnya. Jika dahulu aku seorang yang sensitif, mudah putus asa, dan sentiasa berfikiran negatif, tetapi kini, alhamdulillah, aku sudah jadi sebaliknya. Aku semakin mengerti akan hakikat kehidupan. Aku semakin memahami tentang fitrah hidup manusia. Aku juga semakin dapat menerima sesuatu yang berlaku di luar sangkaanku dan menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah.
Kesimpulannya, semua perkara yang berlaku mempunyai sebab musabab yang munasabah. Jika sesuatu perkara itu terjadi di luar dugaan kita, pasti Allah ingin menunjukkan sesuatu kepada kita. Lihatlah apa yang terjadi itu dengan mata hati. InsyaAllah, kita akan lihat disebalik yang terjadi. Kita akan sedar apa yang berlaku itu sama ada untuk menghapus dosa atau sebagainya. Sebagai hamba, kita mestilah redha dengan ketentuan-Nya. Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya terutama mereka yang sentiasa mengingatinya. Setiap ujian dan dugaan adalah untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kita pada-Nya. Semakin banyak diri kita diduga, semakin kuat kasih sayang Allah kepada kita. Beruntunglah kepada sesiapa yang diuji dengan pelbagai dugaan. Bersyukurlah kalian kerana Allah amat mengasihimu.
No comments:
Post a Comment