Alhamdulillah.. Setelah begitu lama membiarkan blog ni bersawang, akhirnya berpeluang juga saya menjengok seterusnya menembah apa-apa yang boleh ditambah.:)
Baru-baru ini saya dapat satu email daripada sahabat yang sangat istiqamah dalam memperjuangkan Islam. Emailnya pada kali ini berbentuk cerpen Islamik yang ditulis oleh saudara Hilal Asyraf. Jika dibaca cerpen ini, kita dapat muhasabah diri kita selain mendapat semangat untuk menjadi yang terbaik dan terus istiqamah dengan cara dan syariaat Islam. Jom kita sama-sama hayati cerpen ini..
Cerpen: Aku Berada Dalam Tangan Yang Aku Cintai.
Matanya terbuka. Berkelip-kelip sebentar. Siling menghiasi tubir matanya. Bulan pertama berlalu. Lengkap sudah 31 hari dia bergelar pasangan orang. Dia mengingatinya, kerana semalam sebelum tidur, dia terfikir akan waktu-waktu yang telah berlalu.
Tangannya bergerak-gerak merasai separuh selimut di sebelahnya. Apa yang dicarinya, tiada. Digerakkan kepalanya ke kanan. Kawasan katil itu kosong.
Dia mengangkat kepalanya sedikit.
Di satu sudut, agak terjarak sedikit daripada katil, kelihatan sesusuk tubuh sedang ruku’, kemudian berdiri sebentar, sebelum turun ke paras yang lebih bawah dari yang mampu dilihat dari atas katil. Dia yang memandang, pasti tubuh tadi itu sedang sujud.
Dia tersenyum. Menggeleng sebentar. Segera dia bangun dari pembaringan. Azan berkumandang. Waktu Subuh sudah masuk. Terhenti dia seketika mendengar seruan suci tersebut.
“Assalamu’alaikum sweetheart.” Satu suara menerjah gegendang telinga, di tengah-tengah sayup azan. Membuatkan dia menoleh. Tersenyum kelat.
“Waalaikumussalam, honey.” Tertunduk sebentar. “Maaf, tak join.”
“Naa, no biggie. Well, care to join me in Subuh?” Dagunya diangkat dengan lembut oleh jemari lelaki di hadapannya yang tersusun. Mata mereka bertentangan. Lelaki itu mengangkat kening dua kali. Bibirnya langsung terkoyak mengeluarkan senyuman.
“Sure.”
“Pergi mandi dulu.” Dan tangan yang berada di dagu itu, menyentuh lembut pipinya.
Dia mengangguk perlahan, dengan senyumannya yang berkekalan. Kemudian dia bergerak meninggalkan lelaki tersebut.
Itulah suaminya. Rafiqi Rasyidi. Tidak berapa dikenalinya, kerana hubungan mereka banyak atas susunan keluarga. Seribu satu perasaan yang menyerbu dirinya, apabila dia mengetahui bahawa dia akan dikahwinkan dengan seseorang yang bergelar ‘Kepercayaan Ayah’.
Ayah adalah seorang yang soleh. Taat pada agama. Ketua kumpulan usrah yang amat berdedikasi dalam organisasinya. Suaminya adalah salah seorang daripada anak usrah ayahnya. Walaupun begitu, dia tidak mengenali suaminya kerana dia bukanlah seperti ayahnya. Dia tidak berapa rajin mengikuti usrah. Padanya, cukuplah dia tahu bagaimana untuk solat, cukuplah dia mengetahui bagaimana menutup aurat, cukuplah dia Islam cukup syarat, maka tidak perlu untuknya pening-pening atas perkara lain.
Jadi, berkahwin dengan seseorang yang didengarinya sebagai ‘Kepercayaan Ayah’, dia sebenarnya diserangi seribu satu asumsi. Risau lelaki itu akan terlalu keras kepadanya dalam menjaga agama. Risau lelaki itu akan menyuruhnya mengikuti usrah-usrah. Risau lelaki itu akan memberat-beratkannya. Rasa tidak padan pun ada. Siapalah dia. Biasa-biasa sahaja. Kalau nak dikatakan berfikrah, tak adalah sangat. Faham Islam pun cukup-cukuplah untuk makan. Takut nanti dirasakan menyusahkan lelaki se’kamil’ itu pula. Dan dia amat tahu, dia tidak akan mampu menjadi sesempurna lelaki itu.
Dia pun tidak faham, apalah yang pentingnya proses tarbiyah yang sering didengarinya daripada Ayah dan Ibu. Cuma dia perasan, kehidupan mereka banyak berubah ketika dia berumur 15 tahun. Ayah dan Ibu macam jadi lebih ‘alim’, lebih ‘menjaga’. Tetapi taklah terlalu ortodoks. Namun dia dapat melihat perbezaannya. Ayah macam menjadi lebih ‘faham’ akan Islam dalam bentuk yang lebih ‘praktikal’. Dan Ayah menjadi sangat komited dengan organisasi yang diikutinya. Hingga Ayah terpilih menjadi salah seorang penjaga usrah dalam organisasi tersebut. Apa namanya? HALUAN? Dia juga tak berapa perasan.
Dia? Dia tak berapa tertarik dengan perkara-perkara sebegitu. Padanya, kompleks. Padanya, itu semua sekadar ‘tambahan’. Cukuplah dengan Islam yang dia faham. Dia bukannya buat perkara haram, bukan? Jadi dia tak berfikir sangat ke arah mengikuti proses-proses tersebut.
Tetapi, dalam keserabutannya memikirkan semua itu, dia akhirnya bersetuju juga. Itupun, kerana Ibunya terlalu berhajat sangat dia berkahwin dengan lelaki itu. Pasrah sahaja.
Namun selepas sebulan menjadi isteri kepada lelaki itu, semua sangkaannya hilang begitu sahaja. Bahkan, dia merasakan dirinya amat bertuah. Rafiqi adalah seorang yang amat sederhana, soleh, dan tidaklah seperti yang disangkakan sebelumnya. Lelaki itu tidak pun menyentuh apa-apa hal berkenaan pergi usrah, atau tahap kefahaman Islam, atau kekuatan melaksanakan hal-hal sunat. Lelaki itu banyak berbicara perkara ‘normal’ sahaja dengannya. Hingga kadangkala, kagum merayap ke dalam jiwanya.
Sangkanya, lelaki sedemikian, keras dalam menjadikan pasangannya ‘kamil’.
Dia gila-gila, Rafiqi seorang yang neutral.
Dia senang terasa, Rafiqi pula berpada-pada.
Dia agak keanak-anakan, Rafiqi pula jelas kematangannya.
Tetapi Rafiqi, sederhana. Sabar dengan kerenahnya. Banyak mengikuti rentaknya.
Hingga dia sendiri, sering terpana.
Senyuman tadi tidak pergi lagi. Walau dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik air. Menggeleng sebentar, sebelum pintu ditutup. Sempat memandang Rafiqi yang berada di sinki sebelah bilik air, mengambil wudhu’ yang terbatal kerana menyentuhnya tadi.
“What? Anything funny?” Suara Rafiqi menariknya semula.
Matanya terkelip-kelip. Aiseh, kantoi usha anak orang. Hihi.
“Nothing.” Dan senyumannya meleret kekal. Pintu bilik air ditutup.
******
“Pergi mana, honey?” Dia melihat Rafiqi menyarung kasut sukan. Pakaian pula pakaian riadhah. Tadi selepas bersembang dengannya, minta izin masuk sebentar, rupanya bertukar pakaian.
“Aiseh, lupa nak bagi tahu awak. Saya ada program riadhah dengan sahabat-sahabat la. Sorry ya sweetheart, lupa bagitahu.” Rafiqi dengan senyuman secerah mataharinya itu, memandang tepat ke arahnya sambil kekal membongkok membetulkan tali kasut.
Dia yang duduk di buaian menghirup udara pagi di halaman, mengangguk.
Sahabat-sahabat. Itu adalah terma yang digunakan jika hendak keluar dengan rakan-rakannya yang mengikuti usrah sepertinya. Seperti Ayah. Ayah juga sering menggunakan terma yang sama. Sahabat-sahabat. Kalau perempuan, sahibah-sahibah. Setakat ini, tak pernah lagi la dia mendengar ada ayat “Nak keluar dengan sahibah-sahibah” keluar daripada mulut suaminya atau Ayahnya. Dari mulut Ibunya, pernah.
Hem… Sampai riadhah pun ada dengan sahabat-sahabat. Proses tarbiyah yang suami dan kedua-dua orang tuanya ikuti ini, macam meliputi segala hal dalam kehidupan pula. Dulu ada berkelah. Ada sekali tu, jamuan makan sahaja. Ada pernah, buat Hari Keluarga pula. Proses itu nampaknya tidaklah terpenjara dalam masjid, qiamullail, dan hal-hal agama yang rijip sahaja. Tetapi masih dia malas mengikuti semua itu. Biasanya Ibu dan Ayah pergi berdua sahaja. Sejak ada suaminya, bersama suaminya sahaja. Dia? Dia ‘kureng’ sedikit. Sebab dalam semua itu, mesti ada slot ‘tazkirah’, ‘peringatan’. Dia malas. Lagilah pula nak ikuti usrah, berasap telinga kut dengar semua itu. Baik dengar ceramah agama kalau betul-betul nak tazkirah.
Tetapi yang menghairankannya, Ayah dan Ibu, boleh pula istiqomah. Dah tua. Banyaklah fikir akhirat. Itu boleh difahaminya. Suaminya? Mengapa istiqomah juga mengikuti proses itu? Ini bukan dah zaman ‘bebas’ ke? Lainlah kalau ada peraturan macam di sekolah nak main ikut-ikut usrah ni.
“Em, honey, can i ask you something?”
“Sure you can, love. Anything.” Rafiqi bergerak berdiri di hadapannya, menggerak-gerakkan sedikit tubuh seperti memanaskan badan.
“Er, jangan terasa, okay?” Dia teragak-agak. Memandang Rafiqi dengan wajah takut-takut.
Pecah tawa suaminya itu. “Wahai intan payungku, Puteri Ruqayyah Raihanah cintaku, why la i must terasa dengan you?”
“Eh, berpantun rojak bahasa pula dia.” Dia turut tertawa akhirnya. Keseriusan yang terbina secara tidak sengaja tadi, patah begitu sahaja dengan gelagat Rafiqi. Memang la suaminya yang seorang ini. Macam tahu-tahu sahaja dia takut nak bertanya.
“Ha, tanyalah. Apa dia? Nak ajak honeymoon sekali lagi?” Rafiqi angkat kening dua kali.
“Hish, nakal la awak ni. Gula banyak sangat!” Tangannya segera mencari pinggang Rafiqi untuk dicubit. Suaminya itu mengelak tangkas, sambil tersenyum kekal. Dia menghela nafas. Rasa tenang pula hendak bertanya dengan gelagat suaminya yang ceria.
“Sebenarnya, saya nak tanya, kenapa awak istiqomah ikut program-program bawah organisasi yang ayah ikut tu?”
Rafiqi terus kaku. Tetapi kemanisan wajah lelaki itu tidak menurun. Bahkan, senyuman lelaki itu macam melebar pula rasanya.
“Maksud awak, proses tarbiyah?”
Dia mengangguk.
“The answer is easy. Sebab saya nak menjadi kuat.”
“Eh? Kuat?” Peliknya jawapan. Kenapa tak masuk body builder sahaja?
“Ha’ah, kuat. Awak tahu, hanya dengan proses ini sahaja kita akan mampu menjadi kuat. Sangat-sangat kuat.” Rafiqi tersenyum, dan senyuman suaminya itu benar-benar menyenangkan. Nampak keyakinan. Nampak kesenangan. Nampak kekuatan.
“Boleh terangkan dengan lebih detail?”
“Apa kata kita simpan dulu? Mana tahu, kalau awak sabar sikit, Allah tunjuk practical version punya?”
“Apa, badan awak jadi tough ke?” Dia pula buat angkat kening dua kali. Sejak bila gelaran ‘manusia ternakal’ jatuh kepada Rafiqi ni? Nak rampas balik kerajaan aku. Huhu.
Rafiqi tertawa. “Tungguuuuuuu.” Rafiqi memuncungkan sedikit bibir sambil mengangkat jari telunjuk kepadanya. Dia pula tertawa senang.
“Ah, dah nak terlambat ni. Saya pergi dulu ya? Take care, sweetheart.” Pantas pipinya dikucup, sebelum Rafiqi bergerak masuk ke dalam Lamborghini Aventador, milik persendirian suaminya itu. Dia hanya mampu memandang kereta mewah itu meninggalkan perkarangan rumah, merentas halaman rumah mereka yang luas, dan bergerak hilang selepas keluar daripada pintu gerbang rumah.
Dia berfikir sebentar.
“Kuat?”
Tak faham.
Nafas dihela. Dia menggeleng kepala.
Macam-macam.
******
Mereka baru sahaja keluar daripada ISetan. Membeli beberapa barangan sebagai buah tangan kepada Ibu dan Ayah yang hendak diziarahinya.
“Aduh, kenapa la honey saya letak Aventador dia jauh-jauh?” Dia penat menggendong barang.
“La, jauh apanya. Dekatlah. Majid Asy-Syakirin bukannya jauh. Riadhah sikit la sweetheart. Lagipun kan scenery kat sini best? Ada air pancur, ada whale kaku.” Rafiqi menunjuk ke arah kawasan pancur air yang sedang dilalui mereka.
Dia meleret senyum. “Honey, dengan awak, saya memang tak boleh menang ya?”
“Eh, awak dah menangi hati saya, dah la kan? Tak cukup ke, sweetheart?” Rafiqi angkat kening dua kali.
Daripada senyuman, tawanya berbuah. Haila, mana tak aku senang dengan suami aku? Ada-ada sahaja. Bertuah betul badan.
“Come, saya ambil sikit.” Rafiqi mengambil separuh tanggungannya. Walaupun tanggungan di tangan Rafiqi sudah berat sebenarnya. Dia malu-malu sahaja, menggeleng. Sweet sungguh suaminya ini.
Hampir ke kereta, bunyi bising berdesing di telinga. Terus mata melilau mencari sumbernya. Akhirnya, dia terhenti kepada sekumpulan lelaki yang berpakaian ala-ala samseng, menggerumuni salah sebuah kereta. Dan kereta itu adalah…
“Eh, kereta itu bukan kereta kita?” Rafiqi terlebih dahulu bersuara.
Dia mengiyakan. Kini dia diamuk bimbang. Bagaimana? Apa yang perlu dilakukan? Tunggu sampai kumpulan itu pergi? Kalau kereta itu pula yang diperapa-apakan bagaimana? Dipecahkan untuk dicuri, dan sebagainya. Dan kalau mereka cuba menghalang, bukankah mereka pula yang akan menjadi mangsa? Sudahlah dia dan suaminya sedang menggendong barang-barang yang tidak kurang mahal harganya, dia dan suaminya juga mempunyai pelbagai benda berharga pada tubuh dan dompet mereka.
“Assalamu’alaikum saudara-saudara semua,”
Matanya membesar. Terus memandang Rafiqi di sebelah. Apa yang suaminya sedang lakukan?!
Lelaki-lelaki tadi menoleh ke arah mereka. Wajah-wajah itu jelas tegang. Mata mereka terus tajam. Tanda tidak senang diganggu.
Ah, Habislah! Apa yang Rafiqi fikir?
“Honey…” Dia cuba mengajak suaminya itu agar tidak melakukan apa-apa perkara yang bodoh.
“Tenang sweetheart, tenang.” Rafiqi tersenyum. Tenang. Buat jantungnya bagai hendak berhenti berdegup. Macam mana suaminya boleh tersenyum sekarang? Dia sudah tidak keruan.
“Kau siapa hah?” Salah seorang daripada lelaki-lelaki itu bersuara. Mereka perlahan-lahan mula menggerumuni dia dan suaminya.
“Saya tuan punya kereta.” Lurus sahaja Rafiqi bersuara.
Ya Allah, suami aku! Kenapa pergi beritahu begitu?
“Ooooh. Jadi, mudahlah kerja kami. Boleh serahkan kunci?” Salah seorang daripada ahli kumpulan samseng tersebut tersengih.
“Serahkan sekali lah segala apa yang ada dengan korang. Kalau kereta pun macam itu, sah-sah dalam beg tangan, pada badan ada macam-macam juga kan?” Seorang lagi bersuara, sambil memandang dia dan Rafiqi dari atas hingga ke bawah.
“Jangan biarkan kami ambil jalan sukar. Kami tak nak memperapa-apakan sesiapa. Kami ni cari makan sahaja.” Seorang lagi menumbuk-bumbuk telapak tangannya sendiri.
Seorang, dua orang, tiga… enam orang kesemuanya. Macam mana ni? Dirinya mula terasa seperti hendak berpeluh. Takut. Takut. Segera pandangannya beralih kepada Rafiqi. Kelihatan suaminya itu sedang menunduk sebentar, meletak segala barang yang digendong, kemudian berdiri tegak semula.
“Saudara sekalian, mencuri dan peras ugut itu salah. Kalau benar-benar nak ambil jalan yang senang, maka jalannya yang sebenar adalah dengan tidak mengambil apa-apa daripada kami.” Rafiqi mendepangkan tangannya sambil kekal tersenyum.
Kali ini, dia seperti ingin menjerit. Dia menarik nafas dalam kerana terkejut yang amat. Apa suaminya telah gila?
“Celaka!” Belum sempat dia bersuara, salah seorang daripada kumpulan samseng itu sudah mula bergerak dengan pisau kecil yang siap di tangan. Dia memejamkan mata ketika itu juga. Aaaaaaa….!
Terasa angin menyapa wajahnya. Dapat dirasakan angin itu menerpa dari arah kanan, bukan dari arah kiri, yakni arah penyerang tadi. Dan untuk jangka masa yang sepatutnya dia telah menjadi mangsa tikaman, dia mendengar pula bunyi dentingan. Hairan. Perlahan-lahan dia membuka matanya.
Rafiqi sedang mengilas tangan Sang Penyerang, dan pisau kecil tadi sudah menyembah tanah.
“Saudara-saudara, saya kira baiklah…” Rafiqi masih bersuara dengan senyuman. Tetapi bicaranya tidak dapat disempurnakan. Lima yang lain mula beraksi serentak.
“Sayang!” Satu pukulan pantas mengenai batang leher penyerang tadi, membuatkan lelaki itu terkulai pengsan sebelum sebelah tangan lagi tangkas menariknya dan menolaknya untuk keluar daripada medan pertempuran. Dia terundur menjauhi suaminya itu beberapa langkah akibat perbuatan tersebut. Dan dengan matanya yang tidak sempat ditutup, dia melihat suaminya diterkam kelima-lima samseng yang lain.
Dia ingin menjerit, tetapi tidak mampu. Tersekat di kerongkong. Namun dengan jelas dia melihat bagaimana Rafiqi menyelit mengelak dengan penuh seni dan ketangkasan. Tiada satu pun serangan lawan-lawan suaminya itu yang menyentuh tubuh.
Rafiqi kelihatan tenang, walaupun lima lawannya itu bersenjata. Melihat bagaimana suaminya mampu mengelak semua serangan tersebut dalam kadar jarak seinci sahaja, membuatkan jantungnya seperti hendak meledak. Takutnya menggunung. Kalaulah terlambat sedikit sahaja… ish…
“Maafkan saya,” Kedengaran Rafiqi bersuara.
Salah seorang menujah, dan kini Rafiqi menepis tangan penyerangnya itu. Pada saat yang sama dengan tepisan itu, sebelah kakinya melangkah ke hadapan. Tangan yang menepis tadi sudah bersedia dan melancar sebagai tolakan keras mengenai bawah rahang penyerangnya apabila langkahan suaminya tadi sempurna.
Darah tersembur ke udara. Dan belum sempat lelaki itu jatuh, suaminya telah menuju ke arah seorang lagi yang terhampir dengannya. Kaki kirinya melangkah mendekati lelaki tersebut, dan tangan kiri dengan jari jemari tersusun rapat seperti mata pisau sepantas kilat menujah ke halkum. Lelaki yang pertama sudah jatuh separuh, dan lelaki kedua sudah mula tumbang. Ketika ini suaminya diserang dari arah hadapan, namun dengan pantas suaminya menunduk, bersama kedua-dua tangannya menumbuk perut kedua-dua lelaki tadi, membuatkan kedua-dua tubuh mereka terhentam ke bumi.
Penyerang suaminya terus melancarkan sepakan. Rafiqi menangkap, dan terus menarik sebelah kaki lawannya itu sambil naik dari tunduknya serentak. Seluar yang dipakai lawannya terkoyak, dan Rafiqi menendang belakang leher lelaki tersebut, membuatkan lelaki itu terkulai pengsan.
Dua penyerang menerkamnya dari arah berlawanan, menujah pisau mereka berdua serentak. Rafiqi mendepang kedua-dua belah tangannya dan ketika pergelangan tangannya menyentuh pergelangan tangan lawannya, dia memutar-mutarkannya. Tangan kedua-dua lawannya terputar sama. Dan sebentar sahaja, pisau masing-masing terlepas dari pegangan.
Ketika inilah Rafiqi menarik kedua-dua belah lengan mereka, mendekatkan mereka ke arah dirinya, dan dengan pantas mengangkat kedua-dua belah penumbuknya menghentam dagu dua lawannya itu. Lawannya terangkat sebentar, bersama darah yang bersemburan, sebelum jatuh ke tanah seperti yang lainnya.
Ruqayyah Raihanah berkelip-kelip tidak percaya.
Rafiqi ibarat pendekar yang amat hebat. Tambahan pandangannya kini sedang melihat Rafiqi berdiri gagah di tengah-tengah musuhnya yang bergelimpangan.
Dan tiba-tiba, kedengaran tepukan gemuruh yang menggegak. Segera dia menoleh ke kiri dan kanan. Ada sebilangan manusia yang agak ramai sedang memerhatikan. Termasuklah beberapa orang polis yang kelihatan seperti baru sahaja hendak mengeluarkan senjata.
Dia terlalu gemuruh, takut, hingga tidak perasan yang ada orang sedang memerhatikan mereka.
“Sweetheart?” Tiba-tiba Rafiqi muncul di hadapannya.
“Are you okay?” Dan senyuman suaminya tetap terwujud. Tenang. Seakan-akan ketenangan itu, tidak tergegar langsung.
Dia? Dia gugup. Takut. Gemuruh. Serabut. Teramat. Seakan-akan hendak kiamat.
“Tuan, tuan perlu ikut kami ke Balai. Buat laporan.” Dan suara itu pula kedengaran. Anak matanya sekadar mengekori polis yang mendekati suaminya. Rafiqi mengangguk, dan masih tersenyum. Kemudian memandang kepadanya semula.
“Alamak sweetheart, kena call Ibu dan Ayah la. We will be a little bit late.” Rafiqi masih bersahaja. Suaminya itu terus menyeluk saku, mengeluarkan telefon bimbit, dan pantas menekan speed dial. Dia amat pasti suaminya menghubungi Ibu dan Ayah.
Dia memang mengetahui akan ketenangan suaminya. Tetapi, dia tidak pernah menjangka yang suaminya akan mempunyai ketenangan yang sedemikian rupa. Kenapa suaminya boleh kekal tenang sedemikian rupa? Dalam situasi yang teramat-amat getir sebegitu. Mengapa suaminya mampu untuk begitu?
Dan persoalan itu tidak terjawab hari itu, dan juga keesokannya, dan juga keesokan keesokannya. Terdiam begitu sahaja. Namun nyata, peristiwa itu agak memberikan kesan kepadanya.
*******
“Ini suprise ke apa ni?” Rafiqi bertanya. Suara itu sayup-sayup kedengaran kerana angin sedang kuat menerjah ke arah mereka.
Dia hanya tersenyum sahaja.
“Ini gratitude namanya, honey.” Dia mendepangkan tangannya. Membiarkan diri dipukul angin kuat. Tudungnyatelah siap dipin agar tidak berterbangan.
“Eh eh, gembiranya dia. Untuk?”
“Sebab awak sudi kahwin dengan saya.”
“Alalalala, sweetheart saya ni, terlebih sweet lah.” Rafiqi tersenyum sambil mencubit pipinya, sebelum suaminya itu bergerak memegang palang penghadang. Dia pun segera memegang palang tersebut, dan bahunya bertemu bahu Rafiqi.
“Seronok tak?”
“Seronoklah. Naik ferry orang-orang kaya.”
“Awak tak pernah?”
“Ummi dengan Abah aero maniac la. So, biasanya kalau nak pergi jauh-jauh kami naik aeroplane lah.” Rafiqi tersengih.
“Naik ferry la baru seronok. Ada dapat rasa angin, bau udara laut. Baru ada life. Baby pun mesti happy.” Dia mengusap perutnya. Sudah tiga bulan.
“Haha. Manalah tahu, silap-silap dia tak happy ke?” Rafiqi terus melekapkan telinga kepada perutnya. “Rafi’i Rasyidi, sila voice out sikit?”
Dia tertawa senang. “Afeefah Raihanah la. Baby girl. Dan kalau dia keluarkan kenyataan pun, mesti kenyataan yang sokong Ummi dia. Kan Afeefah kan?” Dia mengusap perutnya.
Mereka sudah siap dengan nama. Excited punya fasal. Rafiqi mahu anak lelaki. Dia mahu anak perempuan. Masing-masing tak mahu kalah.
Rafiqi tertawa. Kemudian perlahan-lahan berdiri tegak. “Allahuakbar. Eh, saya ingat saya nak rehat di dalam bilik lah. Awak macam mana sweetheart? Still nak ambil angin? Nak saya teman sini?”
Dia menggeleng perlahan. “Nak ambil angin lagilah.”
“Sila-sila. Tak lama lagi sampailah Sumatra.”
“Ai ai sir.” Rafiqi angkat tabik, sebelum menghilang ke arah bilik. Dia tahu suaminya itu keletihan. Baru sahaja menyelesaikan project kerjasama dengan Syarikat milik Ayah. Projek besar. Banyaklah kerjanya. Baru sahaja selesai, sudah diberikan suprise naik ferry pula. Bagaimana bertahannya suaminya itu, pasti memerlukan kerehatan.
Tiba-tiba udara seakan menjadi lebih pekat. Lebih sejuk. Dan belum sempat dia hendak menoleh sekeliling, hujan turun dengan lebat dan langit terus menjadi hitam pekat. Awan mendung tiba-tiba menyelubungi langit. Angin bertiup kencang, dan pancaran kilat menyempurnakan ketakutan yang terwujud dengan suasana itu.
Dia mengucap spontan dengan kilat yang menyambar. Bunyi guruh membuntuti suasana.
“Apa yang berlaku?” Terkejut. Tidak sangka cuaca berubah begitu pantas.
Kini dia mula rasa terumbang ambing. Ombak kelihatan mula mengganas.
“Sweetheart!” Kedengaran sayup-sayup suara Rafiqi.
“Honey!” Dia dapat melihat Rafiqi keluar untuk mendapatkannya.
“Masuk biliklah. Takut baby terjejas.” Tubuhnya terus berada dalam rangkulan Rafiqi. Perlahan-lahan dia dibawa, dengan penuh cermat, ke dalam bilik.
“Pengumuman, kepada Tuan Rafiqi dan Puan Ruqayyah, nampaknya ada perubahan cuaca yang tidak terjangka. Dan nampaknya perubahan ini amat dasyat sekali. Kita pula berada di tengah-tengah lautan, jauh daripada daratan. Paling hampir pun, memakan masa sejam. Kami sedang berusaha yang terbaik untuk menjamin keselamatan kita semua.”
Dia mula diserang ketakutan. Apa yang terjadi ni? Mengapa mesti begini?
Dia menoleh ke arah Rafiqi. Suaminya itu tenang. Mungkin kerana memikirkan yang krew-krew kapal akan berusaha menjaga mereka dan menjadikan keadaan mereka yang terbaik, menyebabkan suaminya itu langsung tidak risau. Tetapi dia terfikir, sejauh manakah mereka mampu menjaga dia dan suami? Tambahan, dia sendiri tidak pernah terperangkap dalam cuaca seburuk ini.
Dia melihat bagaimana pantasnya cuaca berubah sebentar tadi. Pastinya ini baru mukaddimah, dan belum masuk ke klimaksnya lagi.
Dum!
Bunyi dentuman guruh yang menggegak kedengaran. Sekaligus elektrik terputus. Dan spontan dia menjerit sekuat hati.
“Shhh, tenang, tenang.” Rafiqi memeluknya. Dia mendakap Rafiqi erat. Rafiqi tambah mengeratkan lagi pelukan.
“Takut.” Dia mula hendak menangis. Kini
Dum! Kali ini bukan bunyi guruh, tetapi bunyi kapal dihentam ombak. Dia dapat pasti yang itu, kerana dia sendiri merasakan gegaran yang dasyat, hingga dia dapat merasakan tubuh mereka menjadi senget sebentar. Barang-barang di atas almari semuanya jatuh.
Kali ini dia menangis teresak-esak. Menangis sekuat-kuatnya.
“Apalah nasib kita ni, honey?! Saya takut!”
“Tenang, tenang. Shhh.” Rafiqi membelai kepalanya lembut. Dan kemudian dia dapat mendengar suaminya membaca Al-Quran dengan nada perlahan. Ya Allah, Al-Quran apa pula sekarang ini? Sekarang sedang dalam situasi hidup dan mati!
“Awak ni memang lah!” Dia tidak mampu lagi menahan dirinya. Dia menolak Rafiqi sekuat hati.
“Eh? Kenapa ni sweetheart?”
“Why you are to calm? Why you macam tak kisah? You sikit pun tak ada wajah risau. Siap boleh baca Al-Quran lagi. Kenapa?” Dia meninggi suara. Emosi. Dia tidak mampu menerima ketenangan suaminya. Padanya itu seperti tidak ambil peduli. Seperti tidak kisah apa-apa. Seperti tidak punya perasaan.
“Kita dalam situasi hidup atau mati, you know!” Dan dia meninggikan suaranya setinggi-tingginya.
“Well, menjerit don’t change anything, right?” Dan walaupun tempat itu gelap, dia seakan dapat melihat senyuman yang teriring dengan bicara suaminya itu. Geramnya bertambah-tambah. Gemuruh hatinya yang tidak terkawal, situasi yang membuatkannya ketakutan, tetapi suaminya kekal dalam ketenangan? Dia tidak boleh menerimanya. Apa suaminya tidak kisah dia mati? Mereka mati?
Ketika ini, kenangan hitam di tempat letak kereta Masjid Asy-Syakirin menerjah kembali. Ketika itu juga, suaminya tidak peduli. Tenang sahaja. Tiada perasaan. Bahkan sanggup membahayakan dirinya di situ. Suaminya memang tidak punya perasaankah?
“You, heartless!” Dia pantas menggapai bantal dan membalingnya kepada Rafiqi. Tidak cukup dengan itu, dia menumbuk-numbuk suaminya.
“Kalau tempoh hari, itu dalam kawalan kita. Awak pandai bersilat. Tak mengapa lagi. Saya boleh terima. Kali ini, ini bukan dalam kuasa kita. Kita tak boleh berbuat apa-apa. Kenapa awak tak risau?! Awak memang tak ada perasaankah?! Kita nak mati ni!” Dia terus melepaskan amarahnya.
Rafiqi membantu diri.
Tidak lama kemudian, dalam keadaan kapal yang agak terumbang-ambing, dia melihat Rafiqi bangun dan bergerak ke bahagian peti sejuk. Suaminya itu mengambil sebilah pisau.
“Awak?” Dia terkejut. Kini emosinya yang berserabut akibat cuaca yang mengganas hilang begitu sahaja, diganti dengan keterkejutannya akan reaksi suaminya. Sekarang apa pula? Suaminya hilang kawalan? Marah? Mustahil. Rafiqi bukan lelaki yang sedemikian.
“Agak-agak, pada pandangan awak, bila saya pegang pisau, awak takut tak, sweetheart?” Soalan itu keluar.
“Err…” Apa yang relevannya soalan itu sekarang? “Mestilah tak. Walaupunlah saya tahu pisau akan melukakan saya. Tetapi kalau di tangan awak, mestilah saya tak takut.”
“Sekarang awak takut?”
“Tak. Cuma saya terkejut.”
“Kenapa kalau di tangan saya, awak tak takut?”
“Sebab awak adalah orang yang saya cinta, dan saya tahu awak cintakan saya. Pisau itu di tangan orang yang saya cinta, dan saya tahu pisau itu juga di tangan orang yang mencintai saya. Mustahil awak akan buat sesuatu yang buruk kepada saya. Lagipun saya kenal awak. Awak bukan jenis yang akan menganiayai saya.”
Dan dia dapat melihat Rafiqi tersenyum. Rafiqi segera meletakkan semula pisau itu. Perlahan-lahan pergi ke katil, dan memeluknya semula. Hangat. Mesra. Sedikit pun suaminya itu tidak berkasar, memarahinya atas perbuatannya yang hilang kawalan sebentar tadi.
“Sebab itu sweetheart, saya tidak mampu untuk takut dalam apa-apa situasi pun. Sebab saya sedang berada dalam tangan Yang Saya Cintai, dan saya tahu Dia Mencintai Saya.”
“Eh? Who?”
“Allah.”
Terdiam. Dia terdiam.
“Bukankah kita sedang berada di tanganNya sekarang? Cuaca ini, bukankah Dia yang pegang? Dan kalau apa-apa pun terjadi kepada kita, bukankah itu Dia yang susun? Apakah ada susunanNya yang buruk? Bukankah Dia hanya ingin yang terbaik buat kita?” Pelukan Rafiqi bertambah erat.
“Yakah? Kalau kita mati?” Dia terketar-ketar. Sungguh, bila disebut Allah, dia perasan bahawa dia tidak pernah ‘menghadir’kan Allah sebegitu ‘rapat’.
“Bukankah kalau kita mati pun, itu bermakna kita pulang kepada Yang Mencintai Kita?” Suara Rafiqi lembut melepasi cuping telinganya.
Terdiam. Hingga begitu sekali.
“Maka, tiada apa yang hendak dirisaukan bukan?”
Allah, gagah sungguh suaminya. Dan dia tidak tahu, mengapa jawapan suaminya membuatkan dia tenang juga.
“Sweetheart, kalaulah bukan dengan kepercayaan ini, saya pun tak akan mampu tangani enam samseng tempoh hari. Bukan saya tiada perasaan. Tinggal, saya percaya bahawa di dalam tanganNya, yang berlaku hanyalah perkara yang baik-baik sahaja.”
Air matanya jatuh. Perlahan-lahan menuruni pipi. Dia pula mengeratkan lagi pelukan Rafiqi. Jawapan-jawapan Rafiqi, sebenarnya adalah skema jawapan peperiksaan. Bila takut, siapa yang kita cari? Memang jawapannya adalah Allah.
Tetapi tidak ramai yang berjaya mempraktiskannya.
Bila susah hati, kepada siapa kita mengadu? Memang jawapannya adalah Allah.
Tetapi tidak ramai yang berjaya membuktikannya.
Kita ini tidak takut kepada apa-apa, kecuali….? Memang jawapannya adalah Allah.
Tetapi tidak ramai yang mampu menterjemahkannya ke dalam amal.
“Sweetheart, awak pernah tanyakan, kenapa saya ikut proses tarbiyah kan? Dan saya jawab saya nak jadi kuat, bukan?”
Dia mengangguk perlahan. Suasana menjadikannya lebih terharu. Suasana malap, ditambah dengan bunyi hiruk-pikuk keadaan, disempurnakan pula dengan suara Rafiqi yang lembut dan perlahan, memang amat menggetarkan hatinya.
“Inilah dia kekuatannya. Proses tarbiyah itu, membawa saya faham bahawa kita bukan sekadar faham Islam dalam bentuk teori dan fakta. Tetapi juga praktis dan amalan. Dan benda ini bukan kita berlakon, buat-buat, tetapi muncul secara neutral tanpa paksaan. Semuanya hasil pemprosesan yang berlaku ke atas saya, apabila menjalani tarbiyah, dan melaksanakan dakwah.”
Inilah dia IMAN.
Dan hatinya menyambung bicara suaminya itu.
Sungguh, kini dia benar-benar melihatnya. Patutlah ayah dan ibu mampu mengubah kehidupan mereka. Kerna proses ini memberikan ketenangan buat mereka pada saat yang paling getir, maka pastinya proses ini juga mampu memberikan ketenangan buat mereka pada kala kesenangan. Sebab itu, orang-orang yang mengikuti proses ini, dia melihat mereka tenang dan bahagia sentiasa. Bukan tiada waktu sedih dan takut, tetapi tidak pula berlebih-lebihan gayanya.
Sebab mereka betul-betul berjaya ‘menghadirkan’ Allah dalam kehidupan mereka.
Setiap amal perbuatan, setiap gerak perlakuan, semua dalam keadaan sedar bahawa mereka berhubungan dengan Allah SWT. Mereka bukan sekadar tidak mendiskriminasikan Allah dalam bicara, tetapi juga dalam segenap kehidupan mereka.
Allah, Allah, Allah.
Dia menangis teresak-esak. Semahu-mahunya. Takut kalau dia mati sekarang, matinya dalam keadaan belum betul-betul mengenali Allah SWT. Belum betul-betul Islam dalam keadaan yang sebenarnya. Belum menjadi terbaik. Dia takut…
“Tenang ya sayang?” Suara Rafiqi memotong bicara hatinya.
Tangisannya surut sebentar.
“Apa pandangan sayang, kalau kita berdua dalam bilik ini, gelap-gelap macam ini, terumbang-ambing macam ini, dengan bunyi yang macam-macam, dan yang ketiganya adalah Allah?”
Ketika ini, tangisannya tidak lagi teresak-esak. Tinggal air matanya sahaja kekal menuruni pipi. Ya Allah, bertuahnya aku, mendapat Rafiqi sebagai suamiku.
“Malu kat baby, Ummi dia nangis-nangis.” Air matanya diseka. Dia menutup mata sebentar.
Dan kini, di samping pelbagai bunyi yang menerjah, dia mendengar Rafiqi kembali membaca Al-Quran hafalannya. Tenang.
Perlahan-lahan dirasakan bunyi-bunyi yang kurang menyenangkan itu menghilang.
Tinggal suara Rafiqi semata-mata.
“Ya Allah, aku berserah kepadaMu. Sebenar-benar penyerahan. Jadilah apa yang Kau nak jadikan kepada kami, nyata Kau lebih tahu apa yang terbaik buat kami.” Dia berbicara di dalam hati.
Terus bersama Rafiqi, dengan jiwa diletakkan sepenuhnya di tangan Allah yang dia tahu mencintainya.
Mustahil Allah akan menzalimi mereka.
******
Semua itu telah berlalu. Setahun lamanya. Kisah yang tidak akan luput daripada jiwanya. Bagaimana dirinya mula memahami apakah pentingnya proses tarbiyah buat diri.
Kini hatinya lapang. Di dalam jiwa tiada kegusaran berkenaan apa sekalipun. Dia tidak lagi takut kepada apa pun. Jiwanya senang. Hatinya bahagia. Dia rasa terjaga. Dia rasa lebih kuat.
Kerana dia tahu, amat yakin, tanpa ragu, bahawa dia sedang berada di dalam tanganNya.
“Nak bawa Rafi’i pergi program sekali, sweetheart?” Rafiqi mendapatkannya.
“Mestilah. Ini debut dia dalam program-program. Kan Rafi’i kan?” Dia merapatkan pipinya kepada pipi anaknya yang gebu itu. Anaknya itu tertawa comel.
“Rafi’i dah besar nanti, harapnya lebih bagus dan lebih istiqomah daripada Ummi dan Abah dia.” Rafiqi menyentuh pipi anaknya itu.
“Amiiin.” Dia mengaminkan, dengan senyuman yang lebar. Segera bergerak masuk ke dalam Aventador.
Allah menyelamatkan mereka setahun yang lalu. Ribut berhenti, dan laut tenang kembali. Bot penyelamat tiba selepas talian berjaya diwujudkan. Dia terasa seperti dihidupkan semula oleh Allah SWT. Selepas itu, sebagai azam baru untuk menunjukkan rasa berterima kasih kepada Allah SWT yang mencintainya, dia mula bersungguh-sungguh mengikuti proses tarbiyah yang selama ini diikuti orang tuanya dan Rafiqi.
Barulah dia melihat itu dan ini, apa yang selama ini dilihatnya tidak lebih dari sekadar tazkirah. Rupanya, lebih daripada itu. Berkelah juga ada tarbiyah di dalamnya. Beriadhah juga ada tarbiyah di dalamnya. Bersembang dengan sahibah-sahibah juga ada tarbiyah di dalamnya. Pendek kata, tarbiyah itu lebih daripada proses mendapatkan ilmu dalam bentuk tazkirah. Tarbiyah adalah proses pembentukan diri, bukan proses penambahan ilmu. Tarbiyah adalah proses memperdalamkan kefahaman, bukan proses untuk sekadar lepas menjawab peperiksaan. Tarbiyah, adalah untuk kita dapat benar-benar menterjemahkan Islam dengan kefahaman, bukan sekadar bijak berdebat menegakkan kebenaran.
Di situlah dia juga dapat ‘melihat’ bahawa dia sedang berada di dalam tangan Yang Dicintainya, yakni Allah SWT. Di situlah kehidupannya lebih tenang, kerana dia benar-benar ‘melihat’ hakikat itu. Di situlah dia benar-benar kuat, kerana dia benar-benar ‘melihat’ kebenaran itu.
Pedal undur ditekan, kemudian kereta berhenti sebentar selepas berputar lengkong separuh.
“Honey.” Dia bersuara.
Rafiqi memandang ke arahnya.
“Yes sweetheart?”
“Thanks.”
“For?”
“Everything.” Kerana kaulah yang membuka penghadang antara aku dengan Dia.
Rafiqi tersenyum.
“I just can give you something, sweetheart. Not everything. Yang bagi everything itu Dia. Yang mencintai saya, lebih daripada awak mencintai saya. Yang mencintai awak, lebih daripada saya mencintai awak.”
Dia tersenyum. Benar itu.
Alhamdulillah.
Terima kasih Allah.
~langitilahi.com
No comments:
Post a Comment