Saturday, May 26, 2012

:: SAHABAT::

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ni ana rasa nak tulis sesuatu, tapi, ana tak tahu nak tulis.. Sungguh, waktu yang ada tanpa berbuat apa merunsingkan ana.. Sebaik-baiknya ana perlu, kena, mesti menggunakan masa terluang yang ada ni sebaik-baiknya sebelum datangnya waktu sibuk.. Allah.. 

Sibuk-sibuk mencari topik yang nak ditulis, ana jumpa gambar dua anak kucing ni.. Allahuakbar.. Tiba-tiba pulak ana rindu kat kucing-kucing ana di kampung.. Dan ana teringat kata-kata ayah ana " Kucing ni dua-dua jantan. Dari kecik sampai besar, tak pernah gaduh. Siap boleh tidur sekali lagi. Bagusnya." Itu kata-kata ayah ana. Ana pun perhatikan kucing-kucing ana. Subhanallah. Baiknya hubungan kucing-kucing ni.. sesekali ada juga ana tengok kucing ana mcm bergaduh, last-last berpeluk pulak.. Ish.. Jeles ana.. Kenapa ana cerita tentang kucing pulak? Di sini ana nak kaitkan tentang persahabatan.. ana tengok kucing-kucing ana tu macam bersahabat.. Sedangkan kucing pun boleh bersahabat, sama-sama jaga antara satu sama lain, apatah lagi kita, manusia yang dikurniakan keistimewaan akal untuk berfikir kn? Mesti lagi "special".. :).. Sahabat.. Untuk mendapatkannya bukan mudah. Tetapi, bila kita dah jumpa sahabat, jangan pula kita biarkan dia pergi kerana diri kita.. Siapa sebenarnya sahabat kita? 

MENURUT IMAM AL-GHAZALI TERDAPAT 12 SIFAT SAHABAT SEJATI

1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Adakah dalam kalangan kenalan kita yang mempunyai sifat tersebut? InsyaAllah, ada.. Terkadang perkataan sahabat tidak terungkap antara kita dan dia, tetapi perbuatan menggambarkan dia sahabat kita.. Hanya kita yang perlu menilainya dengan baik.. :).. Hargai dan sayangilah sahabat kita kerana Allah dan jadilah sahabat kepada dia.. :).. Sama-samalah kita saling ingat mengingati untuk mendapat keredhaan Allah.. :)




Friday, May 25, 2012

Trend 'Taqrabu Az-Zina" Sebelum Penikahan

 

Anologi Nyamuk dan Harimau. Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!

Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!

Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang?

Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.

Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.

Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari." (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini.

"Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:"Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali."(HR.Bukhari)
Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan."
(Surah al-Isra': 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat
Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.


Apa itu ikhtilat?

Ikhtilath ada maksudnya dari segi bahasa dan istilah. Dalam Bahasa Arab, ikhtilath sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif. Seperti perkataan khalwat umumnya difahami sebagai sesuatu yang negatif.
Sedangkan dari segi bahawa ikhtilat dan khalwat boleh membawa maksud yang negatif dan positif.
Ikhtilat di sini bermaksud pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Asal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram.
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia kurang disebut sebagai ikhtilat (walaupun dari segi bahasa sebenarnya boleh juga disebut ikhtilat yang dibenarkan) sebaliknya disebutmuamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.

Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.

Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.

Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya,
Dah makan ke?
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa?
Dah tidur ke?

Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?

Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.
Sabda Rasulullah SAW,

Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:  "Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.
(Hadis riwayat al-lmam Muslim)

Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).

Cinta Fitnah

Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, "Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat." (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).

Katanya lagi, "Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius."
Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:

"Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli."
(Riwayat Ahmad).

Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.
Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang 'berat-berat' terus. Ia biasanya dimulai dengan yang 'ringan-ringan' dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.

Ingat pesan Nabi,
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.
Remaja Yang Dikagumi Allah
Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
Allah SWT mengingatkan kita,

"Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa."

Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
Sabda Rasulullah SAW,

"Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan.
(Riwayat Ahmad)

Saturday, May 12, 2012

::AURAT DIJAGA SYARIAT TERPELIHARA::

Bismillah.. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Bersyukur kita pada nikmat terbesar yang diberikan Allah kepada kita iaitu nikmat??? Nikmat ape? Menurut satu kisah yang ana baca dalam buku bertajuk Ibadah Sepenuh Hati, hasil tulisan Amru Khalid, seorang penulis Indonesia nikmat yang paling besar dalam hidup kita, dunia dan akhirat ialah nikmat Allah sebagai Tuhan kita.. Kenapa pula? Bukan nikmat Iman dan Islam? Jawapan kepada persoalan tu, ana nak jawab dengan soalan balik.. Nikmat Iman dan Islam tersebut datangnya dari mana? Nikmat kesihatan, kedamaian, kebahagiaan, kekayaan, kesenangan semuanya datang dari siapa? Siapa yang beri semua nikmat tu? ^__^.. Maka, bersyukurlah kita kerana Allah Tuhan Kita.. Allah Maha Baik sebab bagi kita semua nikmat tu.. Malah Maha Sweet sebab tak mintak ape-ape balasan pun dari kita atas semua pemberian nikmat-nikmat tu.. Baik dan Sweet kan? :)

Dah lama ana tak update blog ni.. Kekangan masa, kekurangan Ilmu ana sendiri, dan banyak lagi hal dunia yang menghalang ana dari nak update blog yang Allah amanahkan pada ana sebagai pengumpul saham ana di sana nanti.. Alhamdulillah, pagi ni ana ada sedikit perkongsian yang ana teringin sangat nak sampaikan. Perkongsian ni hasil ilmu yang ana kutip dari forum Aurat Terjaga Syariaat Terpelihara. 

"AURAT TERJAGA SYARIAT TERPELIHARA".. Indahkan tajuk tu? Disebalik tajuk yang indah punya makna yang juga begitu indah..

Jika ringkaskan maksud syariat dari segi bahasanya ialah satu jalan yang boleh mendatangkan tenang/sejuk. Manakala dari segi istilahnya syariat adalah apa yang ditetapkan oleh Allah, semua hukum yang ditetapkan oleh Allah.. Itu maksudnya yang telah diringkaskan. Mengikut maksud tersebut, jika kita hendakkan ketenangan, maknanya kita perlu melalui jalan yang membawa kita kepada ketenangan. Allah dah beri jalan ketenangan pada kita dengan syariat-syariat atau hukum-hukum kepada kita.. Menjadi pilihan kita untuk melalui jalanNya atau nak ikut jalan lain. Jika kita ikut syariat, InsyaAllah, ketenangan dan kebahagiaan menjadi milik kita. Namun, jika pilihan kita selain syariatullah, waspadalah.. Semuanya terletak pada pilihan kita, mahu tenang atau sebaliknya.. 

Firman Allah
" Kemudian kami jadikan engkau (Muhammad)  mengikut syariat (peraturan) dari agama itu, maka ikutilah (syariat itu) dan janganlah engkau ikuti keinginan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mereka tidak akan dapat menghindarkan engkau sedikit pun dari (azab) Allah... " (45:18-19)

Dalam dunia ni, terdapat 5 perkara yang dijaga oleh syariat. 
1. Agama- Syariat menjaga agama. Tanpa syariat, agama Islam menjadi kucar kacir, kacau bilau. Tetapi, dengan syariatullah, hak asasi manusia mengikut syariatullah, agama Islam menjadi agama yang Indah, sejahtera dan selamat. 
2. Jiwa- Syariat menjaga jiwa/ nyawa seseorang individu. Syariat mengharamkan pembunuhan. 
3. Akal- Syariat menjaga akal. Syariat mengharamkan pengambilan dadah dan arak yang merosakkan akal.
4. Keturunan- Syariat menjaga keturunan dengan perkahwinan dan mengharamkan zina.
5. Harta- Syariat menjaga harta.
 (Ustzh Yazidah, 2012)

Dah puas dengan syariat, kita terus kepada aurat pula.. Ana tahu, ramai yang curious tentang aurat ni.. Ana juga sedar, sekarang ni ramai yang dah bertudung dari yang free hair.. Kat sini ana tekankan kerana apa kita bertudung? Nak cantik ke? Nak ikut fesyen terkini atau kerana ALLAH?

Sebelum tu, apa itu aurat? Ustazah Fatimah Syarha dalam forumnya semalam menerangkan maksud aurat. Aurat adalah kekurangan. Aurat merupakan satu ruang rosak yang membolehkan musuh masuk. Macam mane tu? Ok..  Ana tak nak cerita panjang tentang maksud ruang rosak, ana nak fokus kepada kekurangan. Apa yang dikatakan aurat adalah kekurangan? Secara logiknya, kita nak dedahkan tak kekurangan kita pada orang lain? Kita nak cerita tak kelemahan kita pada musuh kita? Apa kekurangan kita tu? Kenapa panggil kekurangan? Kerana apa yang dikatakan aurat itu adalah sesuatu yang boleh menyebabkan kita tidak selamat jika mendedahkannya. Contoh, seorang wanita pakai tudung, tapi dipadankan dengan baju "adik" yang kecik, ketat dan jarang. Selamatkah dia dari pandangan lelaki yang mempunyai masalah hati? Satu kelebihankah apabila menjadi perhatian lelaki? Mungkin kelebihan di dunia bagi wanita yang tidak sihat akalnya, tetapi ianya merupakan satu keburukan, kekurangan bagi wanita ISLAM yang BERIMAN. 

Kerana apa kita menutup aurat? Muhasabah diri kita sendiri. Adakah kerana ikutan orang, fesyen dunia muslimah sekarang, kerana arahan ibu atau ayah, atau kerana Allah? Marilah kita menutup aurat kerana Allah, kerana syariatullah. Bagaimana yang dikatakan menutup aurat kerana Allah? :).. Menutup aurat kerana Allah mestilah menutup aurat dengan sempurna. Bertudung biarlah labuh sehingga di bawah dada, berpakaian biarlah longgar dan tidak jarang.. Islam ni agama yang mudah.. Islam meluaskan yang halal dan menyempitkan yang haram. Kita boleh nak berfesyen, tetapi pastikan fesyen kita tu ikut landasan agama.  Apabila kita dah menutup aurat, pelihara aurat kita, bermakna kita dah ikut satu syariatullah, InsyaAllah, syariat-syariat lain dengan sendirinya akan terikut. Bila kita nak jadi baik, nak ikut apa yang Allah suruh, Allah akan bantu kita. ^__^.. Sweet kan? 

Ana selalu juga dengar ada yang kata, " Aku free hair pun, hati aku lebih baik dari yang bertudung." " Aku pakai pakaian "adik" pun, aku tak seteruk orang yang berjubah". Ada kan yang berkata begitu? Allah tidak melihat pada rupa kita, pada kuasa kita, tapi Allah melihat pada hati dan amalan kita. Eloklah kita nilai sesorang itu pada pandangan Allah dan Rasulullah. Bila kita tengok wanita yang tidak menutup aurat, tetapi hati dan akhlaknya baik, bermakna dia dah rugi kerana tidak mengamalkan perintah Allah. Maka, bukan tugas kita nak caci maki dia, tetapi, berdoalah moga dia diberi kekuatan untuk menutup aurat. Jika kita melihat wanita yang menutup aurat tetapi punya akhlak yang tidak kita senangi, dia telah melaksanakan satu suruhan Allah. Jadi, bukan tugas kita nak marahkan dia, tetapi tegur secara hikmah dan doa semoga akhlaknya indah seperti perwatakan fizikalnya. Siapa pun kita, menutup aurat atau tidak, berakhlak atau tidak, kita sebagai hamba Allah, perlu ingat, hidup ini sementara sahaja. Kita ada dua pilihan. Sama ada nak jadi hamba yang baik, atau hamba yang ingkar. Sama ada kita nak dapat balasan baik, atau balasan buruk. Analoginya, jika kita punya 2 ekor kucing, seekor ikut cakap kita, jaga hati kita, bila kita panggil dia datang, bila nak membuang dia pergi ke tempat yang di khaskan. Seekor lagi degil, membuang merata-rata, bila kita pegang, dia gigit. Yang mana kita saya sayang? Kucing mana yang dapat makan apa aje yang kita makan? Semestinya yang ikut cakap kita kan? Begitulah konsep perhambaan. Bila kita baik dengan tuan kita, kita dengan arahan, kita tak buat benda yang tuan kita tak suka, kita akan dapat balasan baik dari tuan kita. Bila kita ikut perintah Allah, tak buat apa yang Allah larang, InsyaAllah, kebaikan dunia akhirat yang akan kita perolehi. 

Aurat dan syariat.. Dua-dua dah diterangkan, rasanya tidak lengkap jika kita terlepas tentang muslim dan mukmin.. Apa itu muslim? MUSLIM menyerah diri dengan syariat Allah. Mengucap dan tahu serba sedikit tentang Islam, tetapi MUKMIN adalah muslim yang beriman, yakin serta tidak ragu-ragu dengan Allah dan Rasulullah. Ana bagi satu situasi yang membezakan Muslim dengan Mukmin. Allah menyuruh wanita menutup aurat. Dalam sebuah rumah di musim perayaan, tentunya ada sepupu lelaki, ipar duai. Wanita MUSLIMAH akan ragu-ragu untuk menutup auratnya dengan memikirkan sepupu atau ipar duainya akan terasa jika dia menutup aurat, tetapi wanita MUKMINAH tidak akan ragu-ragu dengan perintah Allah. Dia yakin dengan akhlaknya sepupu dan ipar duainya tidak akan terasa dengan penutupan aurat dalam rumanya sendiri.

Kesimpulannya, marilah kita menjadi seorang MUKMIN yang menjaga SYARIAT yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebagai wanita, AURAT adalah perkara penting yang perlu dijaga dan dipelihara. Penutupan aurat boleh mendidik seseorang itu memperbaiki akhlaknya. Niat yang baik akan disusuli dengan perbuatan yang baik dan diakhiri dengan balasan yang baik. InsyaAllah.. Mari muhasabah diri kita, perbetulkan niat kita, dan perbaiki akhlak kita. AYUH BERUSAHA MENJADI MUKMIN/ MUKMINAH.