Friday, September 16, 2011

Kad raya untuk diriku

Khas Untuk...
Hamba Allah yang hina, yang dijadikan dari tanah yang dipijak-pijak,
Hamba Allah yang penuh dengan dosa, kekurangan, kelemahan dan kejahilan,
Hamba Allah yang mengharapkan pengampunan dari Tuhan yang Maha Pemberi Rahmat.
yang bakal beralamat di alam berzakh, yang bakal berjumpa Mungkar dan Nakir.

KHAS UNTUK DIRIKU YANG DISAYANGI

Assalamualaikum... Apa khabar hatimu wahai diriku? Sudah adakah dalam hatimu itu akan cinta kepada Allah dan Rasullullah? Wujudkah rindumu kepada Allah dalam hatimu wahai diriku? Atau hatimu masih lagi dikotori dengan cinta dan janji palsu dunia?

Diriku, bangunlah sayang.. Bangunlah menghadap yang Maha Pencipta. Dia lebih layak dicintai dan dirindui.
Diriku, kosongkanlah hatimu dengan cinta dunia, penuhkanlah jiwa dan ragamu dengan Cinta kepada kekasih abadi. Bersedialah untuk pertemuan dengan-Nya kelak.

Wahai diriku, bersihkanlah hatimu, sucikanlah niatmu, kuatkanlah imanmu, indahkanlah akhlakmu dan peliharalah maruahmu. Ingatlah janji yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya dia bersama dengan orang yang sabar.

Wahai diriku.. Istiqomahlah dalam mencari redha Maha Pencipta, Bersabarlah dalam menempuhi ujian dan dugaan dalam mencari berkat dan rahmat yang Maha Pemberi Rahmat.

Wahai diriku.. Ayuhlah!! Bangun bersujud kepada yang Maha Berkuasa, berdoa kepada yang Maha Mengasihani agar dipermudahkan urusan hidup dan matimu, Dunia dan Akhiratmu.

Wahai diriku, kawallah hatimu agar sentiasa bersabar, tabah dan sentiasa mengikut syariat dan ajaran yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Diriku, ingin aku gunakan kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf darimu di atas segala kesalahan, kebodohan, keterlanjuran dan kekurangan yang telah aku lakukan kepadamu. Semoga hari raya pada tahun ini lebih bermakna buat kita. Diriku, Ingatlah.. Muhasabahlah perbuatan seharianmu agar kamu tidak mengulangi kesalahan yang sama dan berterusan membuat kebaikan. Aku sayang kamu! Jaga iman, capai taqwa, rebut syurga, jauhi neraka.... Sayang kamu!!!

                                                                                                                                             Ikhlas,
                                                                                                                                    ~ untuk diriku ~



Duhai Anak......



Berfikir  tentang ibu, pastinya kita terbayangkan wajah ibu kita yang cantik, semestinya kita teringat akan kata-katanya yang penuh kasih sayang, masih terasa hangat pelukannya. Pernahkah kita terfikir bagaimana ibu kita sewaktu kita masih di dalam kandungannya? Pernahkan kita mendalami perasaan ibu sewaktu kita menendang dari dalam rahim ibu? Bagi seorang bakal ibu, tidak ada yang lebih bahagia selain daripada dapat merasa gerakan bayi dalam kandungannya. Lebih menggembirakan apabila mengetahui bayi yang dikandungnya itu sihat dan selamat. Ibu berhati-hati dalam membuat sesuatu pekerjaan agar tidak menggangu bayi dalam kandungan. Ibu sedaya upaya menjaga kandungan dengan sebaik mungkin, mendidik diri, mencari ilmu dengan harapan bayi yang dikandung itu sihat dan mempunyai sifat-sifat yang baik.
Tetapi, adakah kita sedar semua itu? Sudahkah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai anak kepada ibu bapa kita? Mana hilangnya janji manis kita pada mereka sewaktu kita kecil-kecil dahulu? Ada di antara kita sudah terlanjur melakukan kesalahan kepada ibu bapa kita, tidak pernahkah kita terfikir perasaan mereka? Betapa kecewanya mereka terhadap kita.
Ada di antara kita sangat baik hubungannya dengan ibu bapa. Tetapi sayang seribu kali sayang. Kita selalu berfikir untuk membalas budi baik mereka dengan memberi wang setiap bulan, beri kemewahan, tetapi kita tidak pernah terfikir bahawa mereka lebih memerlukan kasih sayang kita sebagai seorang anak. Mereka lebih menagih perhatian daripada kita. Semua ibu bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka. Itu baru tentang kasih sayang dan perhatian. Pernahkah kita terfikir bahawa mereka juga memerlukan doa anak yang soleh/solehah sebagai bekalan mereka di akhirat sana? Apakah yang kita bekalkan untuk hari akhirat mereka? Adakah dosa pakaian kita yang tidak menutup aurat? Adakah dosa akhlak kita yang keterlaluan tahap teruknya? Adakah kata-kata umpatan kita terhadap mereka? Adakah kesalahan-kesalahan kita yang mengundang dosa kepada mereka menjadi bekalan akhirat mereka? Atau doa, akhlak yang baik, aurat yang ditutup dengan sempurna dan berusaha menjadi anak yang soleh/solehah kita bekalkan kepada mereka? Fikir-fikirkanlah..

Perihal Yakin


Pada zaman ini, ramai orang yang kurang yakin. Apa maksud yakin itu? Yakin diri kah? Yakin yang saya maksudkan ini ialah yakin dengan ketentuan Allah, yakin dengan qada’ dan qadar yang Allah tentukan, yakin dengan apa yang Allah kurniakan. Secara keseluruhannya ialah yakin kepada Allah. Di sini saya bawakan satu situasi di mana  keyakinan kepada Tuhan, Allah yang Maha Esa itu lebih penting dari segalanya isi dunia. Bayangkan kita berada dalam sebuah kapal yang sedang belayar menuju ke sebuah tempat. Dengan tiba-tiba kapal tersebut terhenti, laut bergelombang menyebabkan kapal yang kita naiki bergoyang-goyang, hujan turun mencurah-curah, dengan kilat sambar menyambar. Ditambah lagi dengan suasana yang kelam kabut dengan suara tangisan kanak-kanak dan jeritan orang dewasa. Pada waktu itu, apakah yang ada dalam fikiran kita? Pada siapakah kita ingin meminta pertolongan? Ibu dan ayah kah? Pada siapa kita hendak mengadu? Pada kekasih kah? Adakah ibu dan ayah kita boleh membantu kita? Bolehkah kekasih dunia kita datang menolong? Tak sekali-kali! Hanya Allah harapan kita. Hanya Allah tempat kita memohon pertolongan, Allah juga tempat kita mengadu. Hanya dengan yakin akan Allah, hati kita akan menjadi tenang. Hanya mengharap pada Allah, kita lebih bersemangat untuk berusaha. Hanya mengadu pada Allah, kita akan rasa diri kita diambil berat. Hanya dengan meminta petunjuk dari Allah, kita akan rasa keputusan yang kita telah putuskan itu adalah keputusan terbaik untuk dunia akhirat kita.
Kembali kepada konsep yakin. Andai kita ditimpa sesuatu masalah yang besar sehingga kita buntu untuk mencari jalan penyelesainnya, perlukah kita mengeluh? Perlukah kita mencari kesalahan? Tidak ada jalan penyelesaian selain berusaha, meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah. Dan yang paling penting, YAKIN dengan Allah. Yakin setiap dugaan yang diberikan sesuai dengan tahap kemampuan kita. Dan setiap kesusahan pasti ada kemudahan seperti yang tercatat dalam surah al Insyirah yang bermaksud …’disebalik kesusahan pasti ada kemudahan’… hanya itu yang perlu kita yakini.
Saya ada seorang sahabat yang diuji dengan masalah peribadi yang sangat rumit. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi dengan berkat kesabaran, ketabahan dan keyakinannya pada Allah, Alhamdulillah, Allah permudahkan urusannya dengan membuka hati orang disekelilingnya untuk membantu diri dia yang kesusahan. Allah berikan perasaan sayang dalam diri orang di sekekliling untuk menyayangi dirinya sehingga sampai pada satu tahap di mana salah seorang sahabatnya sanggup membantu dirinya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan dan segalanya selesai.
Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah, hamba penuh dengan kelemahan dan kekurangan mestilah yakin terhadap Allah, mengharapkan rahmat, redha, petunjuk dan bantuan dari Allah. Tidak ada apa yang lebih membahagiakan selain dapat melatih diri bersabar dan tabah dalam setiap dugaan dan ujian yang dikurniakan. Tidak ada apa yang lebih tenang selain dari menyerahkan sepenuh pengharapan kepada Allah dan tidak ada apa yang lebih bermakna selain dapat berkorban jiwa dan harta di jalan Allah.  Ujian dan dugaan adalah tanda kasih sayang Allah terhadap hambanya. Resahlah jika kita tidak diuji.
                                                                                                       

Aisya Nabiella

Alhamdulillah, akhirnye dapat juga tengok blog ni.. Hmm, malam ni sesi meluah perasaan.. Indahnya berukhwah.. Bahagianya bila kita memberi pertolongan tanpa meminta balasan. Seronoknya bila dapat bertemu dengan seseorang yang kita harapkan pertemuan tambahan lagi seorang itu istimewa di hati kita.. Begitu jugalah diriku. Alhamdulillah, tak sampai setahun kami berkenalan, akhirnya dengan izin Allah, dapat juga aku bertemu dengan dia. Seorang sahabat yang aku sayangi melebihi sayang pada diriku sendiri. Seperti biasa, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Itulah hakikat yang perlu aku terima. Sekarang, aku merindui dirinya..


Siapakah dia??

Dia seorang wanita, bakal ibu, saudara seislamku. Dia merupakan seorang yang baru memeluk Islam atas dasar kecintaannya terhadap Islam. Perkenalanku bermula dengan seorang kawan seislamku.  Kawan seislam memperkenalkan aku kepada dia atas dasar seorang Islam. Permulaan perkenalanku dengannya, aku rasa gemuruh. Aku diberi tanggungjawab membimbing dia mendalami Islam. Tetapi lama kelamaan aku merasakan satu perasaan yang tidak dapat aku ungkapkan dengan kata-kata bila kami berhubung. Satu ketenangan, keseronokan dan kebahagiaan.

Hari ini merupakan kali pertama aku berjumpa dengannya. 15 September menjadi hari sejarah buat aku dan dia. Aku terharu apabila melihat dirinya. Wajahnya berseri-seri walaupun sedikit pucat kerana keletihan. Senyumannya menyejukkan walaupun senyuman menahan sakit. Aku faham situasinya.

Mungkin itulah nikmat seorang mualaf. Semua orang menyayanginya termasuk diriku. Aku sangat menyayanginya. Tersangat sayang. Aisya Nabiella, harapan mira kita bertemu lagi. Kali ini bukan berdua, tetapi bertiga, termasuk bayi dalam kandungan tu..