Thursday, April 28, 2011

Murabbi atau Selebriti??

Lepas subuh tadi, sempat saya belek kembali majalah HIDAYAH dari Indonesia yang telah dibaca minggu lepas."Penyakit para daei", itulah tajuk yang sangat menyentuh hati saya.
Antaranya, penulis mengingatkan betapa para pendakwah kekadang terlalu sibuk mengajar hingga tidak sempat belajar. Terlalu ghairah menyampaikan hingga kurang menjadi "pendengar". Terlalu acap ke luar diri, sudah jarang kembali ke dalam diri.

Itu akan menjadikan hatinya keras, dalam kelembutan dakwah secara lisan atau tulisannya. Menjadi akalnya dan pemikirannya tumpul justeru ilmunya seputar itu-itu juga.
Benar-benar saya terkesima. Pengalaman memberitahu bahawa "hati kecil" sentiasa mengingatkan bahawa pendakwah bukan lilin yang menerangi orang lain dengan membakar dirinya sendiri. Ilmu, kata-kata dan tulisaannya bukan komoditi niaga yang asyik dipromosi untuk mempopularkan diri. Hingga kekadang tanpa sedar, manusia ditarik bukan lagi kepada Ilahi, tetapi kepada diri sendiri.
Malang, bila pendakwah jadi "peniaga" yang menjaja bahan dakwah dan tarbiah mengikut selera massa. Dan kejayaan diukur oleh gelak getawa dan puji-puja masyarakat atas keterampilan kata dan gaya. Persis seorang selebiti! Mereka tidak lagi berdiri teguh sebagai karang di dasar lautan yang teguh bagaikan "doktor" memberi kepada ummah apa yang menyembuhkan walaupun terpaksa bergelut dengan kepahitan.
Bukan marahkan sesiapa, tetapi sekadar mengingatkan diri. Mengapa dalam arus ilmu dan maklumat, ceramah dan kuliah, masyarakat sangat kurang berubah? Mengapa jenayah semakin marak? Apakah dakwah kita sudah semakin tawar? Apakah tarbiah kita semakin hambar? Fikir-fikirkanlah. Kata yang datang dari hati... pasti jatuh ke hati. Bukan soal kecerdasan dan gaya, tetapi soal keikhlasan, hikmah dan taqwa.
Mengenangkan itu, teringat saya pada tulisan sendiri pada musim-musim yang lalu. Saya ingin berkongsi semula dengan saudara/i apa yang pernah saya luahkan dalam tulisan bertajuk...
KAU MURABI BUKAN SELEBRITI!
Leaders are learners – pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali-kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin – when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skla yang besar tetapi saya adalah pemimpin keluarga dan setidak-tidaknya pemimpin diri sendiri.
Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long – orang tua kampung saya pada minggu yang lalu.
"Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?" tanya Pak Long pada satu hari.
Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya, tetapi dia mengingatkan.
"Apa yang kau selalu tulis dan cakapkan tu... betul-betul sudah kau amalkan?"
Saya bertmbah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati... malah saya takuti (kadang-kadang).
Namun begitu, Pak Longlah tempat saya 'ziarah' apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah 'guru' saya.
"Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil dari pengalaman diri saya tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan."
"Jangan hanya berharap, berusaha!" pintas Pak Long.
"Insya-Allah," jawab saya pendek.
"Bagus tu. Jangan menulis 'diri' sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana, menulis tentang ilmu. Orang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang pandai menulis tentang 'orang lain'. Hanya orang bodoh menulis tentang dirinya sendiri."
Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata-kata Pak Long kali ini.
"Pak Long lihat ada kecenderungan sestengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga penceramah yang asyik bercakap tentang 'aku'nya."
"Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalamannya itu dapat dikongsi oleh orang lain. Malah itu lebih 'real' daripada apa yang dialami orang lain."
"Betul. Tak salah. Tetapi jangan keterlaluan."
"Kenapa Pak Long?"
"Sebab, kekuatan ilmu lebih ampuh daripada kekuatan peribadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri."
"Kenapa Pak Long?"
Pak Long merenung tajam. Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.
"Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masakini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan lebih terperinci... muhasabahlah diri masing-masing."
"Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan? Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Apakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?"
"Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang-kurangnya 'lebih sempurna' sedikit daripada golongan yang diserunya."
"Kalau tidak?"
"Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur-figur yang mereka kagumi malah ingin teladani... tidak seperti yang mereka harapkan."
"Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal-hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti 'bahan' dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi muslim adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauhmana mereka mengamalkan Islam itu sendiri!"
"Hujah lama," balas Pak Long.
"Tapi masih relevan... Pak Long," saya seakan merayu.
"Kalau hujah tu diputar-balik begini macam mana... Ya, kalau Islam sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?"
Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa, hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu 'melawan'. Pak Long bukan guru – kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang 'demokratik' – prinsipnya: Mari sama-sama kita cari kebenaran.
"Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf Al Qaradhawi tentang kelohan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa kelohannya?"
"Maha suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal muslim..."
"Tahu pun. Jika intelektual itu kenal muslim, mungkin dia tidak tertarikpun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib...siapa yang kita nak perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?"
"Islam Pak Long," saya akur. Tunduk.
"Ya, itulah maksud Pak Long... pendakwah atau penulis, mesti mengenegahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah, bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam, bukan kepada produk atau kumpulan. "
"Terimakasih Pak Long... selalu-selalulah ingatkan saya."
"Ingat pesanan Pak Long ni... pendakwah adalah seorang murabbi bukan selebriti!"
(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih 'menikam' saya!)

Wednesday, April 27, 2011

Andai cinta itu hendak diberikan.......

Wahai Srikandi..Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang:
1.Kuat Pengamalan Agamanya
Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu.

Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan.

Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.

2. Baik Akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya,nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."

3. Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang bleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.

4. Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.

5. Tidak Boros
Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.

6. Tidak Mengelingas Matanya
Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.

7. Terbatas Pergaulan
Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.

8. Siapakah Rakan Pergaulannya
Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.

9. Bertanggungjawab
Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah,dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.

10. Tenang wajahnya
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.

  • Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.
  • Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah.

Dosa dihujung jari



Iman seseorang telah disepakati oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem, iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Diketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa (berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, dramaTV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya,tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti KungFu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancanganTV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupunseseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

  • ketika sedang minum arak,
  • hadiri parti penuh maksiat,
  • hadiri majlis dosa,
  • sedang berpelukan lelaki wanita
  • atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
  • dan sebagainya.
Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتيمعافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقدستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبحيكشف ستر الله عليه

Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahkan ini, melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang (sebelum ini) menutup keaibannya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telahatau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengaburi mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Didalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya: Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu, Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauhmana pun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Sekian.

Saturday, April 23, 2011

..::Gadis Paling Ayu dan Cantik::..


Assalamualaikum.. Saya sangat tertarik dengan satu artikel ni.. Jom sama-sama kita baca dan muhasabah diri kita sendiri.

Peringatan dari seorang saudara islam buat semua Muslimah @ Wanita..
Adakah anda bunga atau mutiara ?

Tajuk yang indah ini menarik perhatian saya ketika saya membaca satu soalan yang ditujukan kepada para gadis: “Adakah anda bunga atau mutiara?” Bunga cantik, begitu juga dengan permata. Mana satukah yang anda pilih? Ya, bunga baunya wangi, warnanya cantik, menggoda dan menarik, manakala permata tinggi harganya dan cantik juga.
Tetapi, bunga umurnya pendek. Cepat layu jika dipanah terik matahari atau diganggu oleh tangan manusia atau binatang. Mungkin ada orang memetiknya, lalu ia akan layu dengan cepat. Umur bunga sangat pendek.

Sedangkan permata akan kekal kelihatan cantik selama-lamanya jika ia terus berada di dalam cenkerangnya. Ia tidak bersinar melainkan kepada yang berhak dan layak.

Kedua-duanya cantik tetapi kecantikan mutiara berkekalan sementara kecantikan bunga hanya sementara. Demikian juga dengan para gadis. Gadis yang tidak menutup aurat cantik tetapi ia sama seperti bunga. Manakala gadis yang menutup aurat dengan sempurna adalah mutiara yang amat cantik. Pasti terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Oleh itu wahai saudariku! Wahai orang-orang yang merindui syurga dan merindui para pemuda di dalamnya yang kekal abadi serta kenikmatan yang berpanjangan! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya! Ketahuilah syurga Allah mahal harganya!

Setiap gadis yang beriman bahawa Allah sebagai tuhannya, Muhammad saw sebagai nabinya dan Islam sebagai agamanya hendaklah memerhatikan firman Allah swt (surah Ali ‘Imran ayat 102):
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Kembalilah!

Islam bererti menyerah, menerima serta tunduk kepada segala perintah Allah dengan penuh kerelaan dan reda.

Apakah yang Allah swt perintahkan kepada anda wahai muslimah?! Dia memerintahkan anda supaya menutup aurat. FirmanNya (surah al-Nur ayat 31):
“…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka…”

FirmanNya lagi (surah al-Ahzab ayat 36):
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.”
Jika benar anda muslimah, ini bererti anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah. Jika anda menyerah, menerima dan tunduk kepada perintah Allah, kenapa anda tidak menutup aurat anda?

Aku memohon bantuanMu, wahai Tuhan!

Daripada sekeping hati yang cintakan kebaikan bagi anda dan bercita-cita agar anda mengecapi kemanisan iman… daripada sekeping hati yang bimbang anda akan berjauhan daripada Allah… yang bimbang hati anda menjadi gelap… yang bimbang keburukan-keburukan yang akan mencacatkan lembaran amalan anda hasil daripada pandangan nakal para pemuda dan pemudi yang menjadikan anda sebagai ikutan kerana tidak menutup aurat, meskipun hati anda dipenuhi dengan segala kebaikan… meskipun segala kebaikan yang anda lakukan, daripada kepingan hatiku ini, saya mengharapkan kebaikan untuk anda. Kuatkan semangat dan bermulalah dari sekarang! Ucapkanlah “aku memohon bantuanMu, wahai Tuhanku! Bantulah daku menghadapi diriku sendiri dan godaan-godaan dunia… Aku bertawakkal kepadaMu, wahai Tuhanku. Engkaulah segala-galanya bagiku… Tiada Tuhan bagiku selainMu. Maka perelokkanlah seluruh hal ehwalku.”


Renungan

Sekarang saya tujukan perkataan ini pula kepada setiap wanita yang telah memakai tudung. Ia adalah seruan agar setiap wanita yang telah memakai tudung agar mereka berdiri di hadapan cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri: “Adakah tudung saya ini bersesuaian dengan kehendak Allah? Adakah akhlak saya bertepatan dengan kehendak Allah.” Sesetengah wanita yang telah memakai tudung menyangka dengan meletakkan secebis kain di atas kepalanya itulah segala-galanya, sedangkan dia memakai pakaian yang sempit dan jarang serta tidak menjaga akhlak dan adab Islam. Pernah terjadi seorang ibu mengadu kepada saya melalui panggilan telefon tentang seorang anak perempuannya yang memakai tudung, tetapi menanggalkannya ketika berada di tepi pantai, tidak sembahyang dan tidak melayan ibunya sebagaimana selayaknya sebagai seorang ibu.

Maka ketahuilah wahai wanita yang telah memakai tudung bahawa tudung anda bukanlah segala-galanya. Jika benar anda memakainya kerana mahu mendapat keredaan dan kecintaan Allah serta kerana mentaatiNya semata-mata, maka sekali lagi ketahuilah bahawa tudung adalah pakaian Islam yang mempunyai beberapa syarat. Tudung juga adalah akhlak dan adab serta membantu anda untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain.

Katakan tidak!

Saya menyeru kepada anda wahai muslimah untuk berkata tidak kepada:

1. Pakaian yang sempit dan jarang.
2. Pakaian yang mendedah aurat di tepi pantai, di majlis-majlis keramaian dan di mana-mana sahaja.
3. Wangi-wangian dan solekan.
4. Seluar sendat yang menyakitkan mata dan hati setiap orang yang cemburukan agamanya kerana melihat para gadis memakainya dengan begitu bersahaja tanpa menyedari kesannya terhadap para pemuda.

Saya menyeru anda wahai muslimah untuk memerhatikan diri anda di dalam cermin sebelum anda keluar rumah. Perhatikan dari depan dan belakang… Adakah pakaian anda bertepatan dengan kehendak Allah?

Bagaimana sepatutnya pakaian anda?

1. Hendaklah menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan.
2. Tidak jarang. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Akan ada di kalangan umatku nanti wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang. Kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan memperoleh baunya.”
3. Tidak sempit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Malu dan iman adalah beriringan.”
4. Tidak disapu dengan bau-bauan.
5. Pakaian itu sendiri bukan perhiasan. Firman Allah swt (surah al-Nur ayat 31) yang bermaksud: “… dan janganlah mereka (wanita-wanita yang beriman) memperlihatkan perhiasan mereka…”

Anda di dalam syurga

Wahai muslimah! Wahai mukminah! Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.” Wahai wanita yang tidak memperlihatkan perhiasannya kerana Allah sedang dia difitrahkan suka kepada perhiasan, dengarlah sabda Rasulullah saw berkenaan sifat wanita-wanita dunia di dalam syurga kelak. Sabda baginda saw yang bermaksud: “Dengan sembahyang, puasa dan ibadat mereka kepada Allah swt, Allah menghamparkan cahaya di atas muka mereka dan memakaikan sutera berwarna putih, pakaian berwarna hijau dan perhiasan berwarna kuning di atas badan mereka. Dapur mereka adalah mutiara dan sikat mereka adalah emas. Mereka berkata: “Kami kekal abadi dan tidak akan mati. Kami penuh kelembutan, sama sekali tidak menyusahkan. Kami akan terus muda, tidak tua selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kami sentiasa reda, tidak marah sama sekali. Bergembiralah bagi sesiapa yang memiliki kami dan kami memiliki mereka.” (Riwayat al-Tirmizi)
sekadar renungan kite semua bersama wahai muslimah..
Subhanallah..ALLAHU AKBAR..Wallahua'lam.

Thursday, April 21, 2011

Surah al- Fatehah





CARA TARBIAH TUHAN DALAM AL FATEHAH

Bila kita bahas lebih jauh 5 ayat pertama Al Fatehah ini maka kita dapat melihat bagaimana didikan dan tarbiah Tuhan.Stail tarbiah Tuhan itu sebenarnya ada dalam surah Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak buah, murd-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Tuhan akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan.

Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Tuhan mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.

Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Tuhan maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Tuhan jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau dia militan dan agresif. Keduanya Tuhan tidak mahu kerana keduanya bahaya. Sebab itu Tuhan mendidik secara bertahap.

Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mesti manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarruj tadi atau yang beransur-ansur. Matlamat Tuhan ialah supaya orang akui Dia Tuhan dan mesti sembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya,"Aku Tuhan." Tetapi Tuhan perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:

1. Tuhan kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir:
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Tuhan itu maha Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada 2 yang tersirat yakni :

a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Tuhan beri. Tidak ada saluran selain dari Tuhan. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.

Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun `Bismillah...`, mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat `Bismillah...`, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Tuhan. Jadi dia terasa bahawa rupanya Tuhan itu baik.

2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Tuhan maka Tuhan mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Tuhan? Begitulah cantiknya cara Tuhan mendidik manusia.

3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Tuhan. Kalau kongsi dengan Tuhan, itu dosa yang paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Tuhan, jadi layaklah Tuhan sahaja yang boleh dipuji. Tuhan kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Tuhan ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patutu dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Tuhan itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.

4. Kemudian Tuhan perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Tuhan beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang. Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Tuhan beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Tuhan itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Tuhan, dia tak akan lupa diri. Tuhan beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Tuhan kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Tuhan beri atas dasar pemurah, kadang Tuhan beri banyak. Di situlah murka dan laknat Tuhan. di situlah istidraj.

5. Kemudian Tuhan kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan Tuhan itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu: Kuasa mutlak itu di tangan Tuhan, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Tuhan hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Tuhan. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Tuhan, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.

6. Terasa lagi kebesaran Tuhan. Setelah Tuhan perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Tuhan, maka barulah Tuhan cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Tuhan sudah lengkap, barulah Tuhan arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".

Cara yang Tuhan lakukan itu dalam mendidik manusia, Tuhan minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Tuhan tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Tuhan minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah Tuhan. Itulah ilmunya, teorinya.

Luar biasanya Tuhan bila Tuhan pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Tuhan aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun Tuhan turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Tuhan. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Tuhan cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Tuhan. Cantik sungguh didikan Tuhan. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Tuhan dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.

Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Tuhan.

sumber