Monday, April 11, 2011

Butakah kita??

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

" Buta mata tidak nampak jalan di dunia, buta hati tidak nampak jalan ke akhirat"

Itulah metafora yang melambangkan diri kita. Kita selalu melihat dunia dengan penuh nikmat, penuh kegembiraan, penuh keasyikan tetapi kita sering alpa melihat dunia dengan mata hati kita sendiri. Kita lupa pada yang Pemberi nikmat, kegembiraan dan keayikan tersebut. Kita lupa bersyukur dan memikirkan tentang-Nya. 

Keluarga yang bahagia, sahabat yang baik, suami/isteri dan anak-anak yang soleh/solehah, dan apa-apa sahaja disekeliling kita yang memberikan ketenangan dan kegembiraan pada kita.Pernahkan kita terfikir Tuan kepada apa yang kita ada? Pernahkan kita terfikir semuanya adalah pinjaman daripada-Nya? Pernahkah kita bersyukur kerana dikurniakan segalanya? Tepuk dada tanya hati.

Sebagai seorang mukmin, kita mestilah melihat hidup ini dengan mata hati yang benar. Kita dikurniakan nikmat-nikmat hidup pasti ada sebabnya. Kita dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia pasti ada hikmahnya. Malah, jika kita dikurniakan musibah, juga ada hikmahnya.

Disekeliling kita ramai yang bergembira dengan nikmat yang diberikan, tetapi sedih dan putus asa dengan musibah yang menimpanya. Mereka berdoa bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu, mereka merintih, mereka merayu pada yang Maha Esa. Apabila doa tersebut dimakbulkan, mereka lupa pada Pemakbul doa tersebut. Mereka alpa suruhan dan larangan Allah. Tetapi apabila doa itu masih terhijab, mereka menyalahkan takdir, memarahi keadaan, bertindak diluar batasan. Itulah dikatakan tidak nampak jalan ke akhirat. Kenapa itu terjadi? 

Orang yang sebegini ialah orang yang tidak bersyukur dan tidak mempunyai tujuan yang jelas dalam hidupnya. "Tujuan hidup? Kami ada tujuan hidup. Tujuan kami ingin berjaya dalam hidup." Ayat itulah yang sering kita dengar jika ditanya. Apakah cukup tujuan hidup yang sebegitu? Hanya berjaya dalam kehidupan. Apakah erti berjaya dalam kehidupan bagi mereka? Cukupkah hanya itu sahaja???

Tidak!!! Tujuan hidup yang hanya mementingkan duniawi sangat tidak cukup. Sebaliknya kita mestilah menggabungkan dunia dan akhirat dalam hidup ini. Apa yang kita buat, apa yang kita impikan mestilah memberi manfaat kita di dunia dan di akhirat sana. Apa yang kita lakukan mestilah mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Untuk itu, kita semestinya mengetahui apakah tujuan kita diciptakan.
Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami menciptakan insan itu dengan sebaik-baik penciptaan”.
(At-Tin :4)
"Dan tidaklah Kami ciptakan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadah (kepada Kami)". (Az-Zariat:56)

Subhanallah..
Sebaik-baik ciptaan ditujukan untuk sebaik-baik tujuan. Allah telah tetapkan tujuan hidup manusia iaitu beribadah kepada-Nya. Sukarkah untuk beribadah kepada Allah? Apa yang perlu kita lakukan untuk beribadah?

Tidak sukar untuk beribadah. Apa sahaja yang kita lakukan dengan niat kerana Allah adalah ibadah. Dari sekecil-kecil perbuatan sehingga sebesar-besar perkara yang kita lakukan dengan niat hanya kerana Allah adalah ibadah. Jika niat kerana Allah, pastilah perbuatan itu adalah perbuatan yang baik, yang disuruh Allah, bukan perbuatan yang dilarang. Jangan pula pergi menonton bola sepak di stadium dengan niat kerana Allah. Itu bukan ibadah ye.:)

Manusia yang mempunyai tujuan hidup ini akan sentiasa bersyukur dengan qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan untuknya. Jika dikurniakan nikmat, dia bersyukur, jika dikurniakan musibah, dia bersabar dan bersyukur. Malah dia muhasabah dirinya sendiri dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Mereka tidak akan berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, tetapi sentiasa berusaha dan istiqamah dalam mencari keredhaan-Nya. Itulah manusia yang melihat sesuatu dengan pandangan mata hati. Mereka lebih cenderong untuk melihat disebalik sesuatu yang terjadi. Bukan hanya melihat dengan padangan mata sahaja. Merekalah orang yang celik mata hatinya.

Dalam golongan manakah diri kita? Mari sama-sama kita muhasabah diri kita sendiri. Jika mata hati kita belum terbuka, ayuh, kita buka sekarang. Jika sememangnya terbuka, teruskanlah terbuka untuk melihat dan menikmati dunia dan mengejar akhirat.





No comments:

Post a Comment