Alhamdulillah. Kalimah yang pertama kali sepatutnya terkeluar dari mulut kita sebagai seorang muslim apabila terjaga dari tidur, sebagai tanda kesyukuran kepada Yang Maha Esa atas nikmat hidup dalam iman dan Islam. Bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa lalu dan memperbaiki diri serta mengambil pengajaran dari kesalahan yang lepas. Alhamdulillah juga kerana masih boleh melakukan ibadat wajib mahupun sunat sebagai pelengkap untuk membersihkan diri dan jiwa yang gersang serta lapar terhadap pengabdian kepada Allah. Alhamdulillah untuk segala nikmat yang dikurniakan untuk kita semua. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
" Iman yang benar, buahnya amal yang soleh".
Iman adalah membenarkan dengan hati, menterjemah melalui pengakuan lidah dan mengamalkan dengan anggota. As-Sayyid Qutb menjelaskan iman merupakan dasar hidup yang amat penting untuk membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang kehidupan. Seseorang yang beriman boleh dilihat dari akhlak yang mulia dan tingkah lakunya yang menepati syariat-syariat Islam.Orang yang beriman akan melakukan amalan-amalan yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah. Hal ini kerana amalan yang tidak lahir dari keimanan kepada Allah tidak bernilai. Allah berfirman,
" Orang yang kafir kepada Tuhannya, amalannya seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun daripada apa yang mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh." (Ibrahim: 18)
Amal soleh merupakan buah iman. Seseorang yang beriman akan melakukan amal yang soleh. Iman itu sendiri yang menggerakkan, membangunkan dan menyedarkan diri dan jiwanya akan matlamat hidup yang agung iaitu menepati kalimah "Lailahaillallah muhammadurrasullah".
Orang yang beriman akan diberikan "sesuatu" untuk menguji keimannya. Tidak kira "sesuatu" berbentuk kesenangan atau kesusahan, segalanya adalah berbentuk ujian. Pelbagai jenis "sesuatu" yang Allah berikan kepada orang yang beriman. Yang miskin diuji dengan kesusahan hidup, yang kaya diuji dengan kemewahan hidup, yang berjaya diuji dengan kekangan masa untuk pengabdian kepada Allah, yang kurang berjaya diuji dengan pandangan manusia sekeliling. Seperti firman Allah,
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.(al-Ankabut : 2-3)
Orang yang beriman akan menerima "sesuatu" itu dengan redha dan tabah dalam menghadapinya. Mereka tidak akan berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Allah telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik dari kehidupan di dunia untuk orang yang beriman.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal shalih, bagi mereka adalah Syurga Firdaus menjadi tempat tinggal. (al-Kahfi :107).
Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita. Sudah berimankah kita? Sabar dan tabahkah kita dengan "sesuatu" kurniaan Allah? Bersyukurkah kita dengan nikmat yang diberikan? Adakah kita sudah berputus asa terhadap "sesuatu" yang telah diberikan? Tepuk dada tanya iman..:)
Akhir kata marilah sama-sama hayati hadis ini.
Tatkala Sufyan Ibn Abdullah bertanya kepada Rasulullah saw : "Wahai Rasulullah. Beritahulah kepadaku tentang satu pegangan dalam Islam yang tidak perlu lagi aku ajukan soalan-soalan lain." Lalu baginda menjawab: "Katakanlah! ' Aku beriman kepada Allah', kemudian tetap teguhlah (beristiqamah) pada pendirian itu." -HR Muslim.
No comments:
Post a Comment